PUTRAJAYA - Seramai 465 diberkas dengan 438 daripadanya dikompaun atas pelbagai kesalahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Penguatkuasaan di seluruh negara semalam juga merekodkan 27 lagi direman.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sejumlah 60 premis termasuk 12 kilang diarahkan tutup kerana melanggar SOP.

“Pasukan Task Force tersebut semalam melakukan pemeriksaan ke atas 1,736 kilang, 15,572 premis perniagaan, 990 tapak pembinaan dan 344 asrama penempatan pekerja,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Hari ini merupakan penugasan pertama Hishammuddin sebagai Menteri Kanan Keselamatan setelah mengambil alih daripada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan kini turut memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Hishammuddin yang juga Menteri Luar memberitahu, seramai 14 pendatang tanpa izin turut ditahan dan empat kenderaan darat disita semalam melalui Operasi Benteng.

Bagi kuarantin wajib pula, seramai 380 individu tiba di tanah air semalam.

Sejumlah 9,280 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 83 hotel serta 11 buah institusi latihan awam dan swasta di seluruh negara.