Skip to main content

Komuniti

Remaja lelaki lemas di Lata Air Hitam, Jelai

25 December 2021
Pentadbir Sistem

BATU KURAU - Seorang remaja lemas selepas mandi manda di Lata Air Hitam, Jelai dekat sini sebelum operasi mencari dijalankan tengah hari tadi.

Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.17 tengah hari.

Menurut kenyataan itu, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Kurau telah dihantar ke lokasi bagi mencari mangsa.

"Mangsa dipercayai lemas semasa mandi di kawasan rekreasi itu.

"Mayat mangsa ditemui kira-kira dua meter dari lokasi dia dipercayai lemas oleh orang awam pada pukul 12.47 tengah hari," ujar kenyataan itu.

Identiti mangsa disahkan sebagai Mohammad Fathussalam Mohd. Bajarulnizam, 16, dan pemeriksaan petugas kesihatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Taiping untuk tindakan selanjutnya.

Operasi diketuai PBK II Zaizatulniza Razali.