IPOH: Pernahkah anda mencuba kelainan Nasi Kerabu Diraja aja yang diinspirasikan daripada hidangan istana Diraja Thailand?
Jika belum, inilah masanya untuk ke Restoran Dapur Kita (Kak Leha Tempoyak), apabila menu eksklusif itu kini menjadi antara tarikan utama di Ipoh dengan pengalaman rasa yang dibawa ke tahap berbeza.
Umum mengetahui, nasi kerabu lazimnya sinonim dengan warna biru serta hidangan ulam-ulaman segar. Namun di sini, ia tampil dengan kelainan yang cukup unik dan berbeza daripada kebiasaan.
Lebih istimewa, Nasi Kerabu DiRaja ini dikatakan yang pertama seumpamanya di Malaysia dan hanya boleh didapati di restoran berkenaan yang terletak bertentangan dengan Restoran Mohd Chan.
Menurut, Kak Leha yang sudah 40 tahun berkecimpung dalam dunia masakan, inspirasi hidangan ini datang daripada sajian istana Thailand yang terkenal dengan sentuhan eksklusif dan kaya rasa.
“Biasanya nasi kerabu berwarna biru, tetapi di sini kami tampilkan versi diraja berwarna kuning yang lebih unik,” katanya.
Keistimewaan hidangan ini bukan hanya terletak pada warnanya, tetapi juga pada gabungan rasa yang ‘padu’ dan menyelerakan. Nasi kuning yang harum dihidangkan bersama ayam goreng berempah rangup, ulam-ulaman segar, sambal pedas beraroma serta taburan kelapa goreng yang membangkitkan selera.
Bagi penggemar variasi, pelanggan juga boleh memilih lauk lain seperti kambing, daging atau lemak lembu yang dimasak dengan cita rasa kampung yang cukup ‘power’.
Selain Nasi Kerabu DiRaja, restoran ini turut menawarkan pelbagai hidangan tradisional lain yang tidak kurang hebatnya seperti nasi dagang, laksa dan mee rebus.
Namun begitu, antara menu yang sering menjadi buruan pelanggan ialah ikan keli goreng rangup, gulai tempoyak patin, kari kepala ikan serta pelbagai pilihan ulam kampung segar yang membuka selera.
Restoran ini beroperasi seawal jam 7.30 pagi hingga 4 petang, menjadikannya lokasi ideal untuk sarapan dan makan tengah hari. Bagi pencinta masakan kampung, kunjungan ke Restoran Dapur Kita bukan sekadar mengisi perut, malah membawa kembali nostalgia rasa asli yang sukar ditandingi di sekitar Ipoh.