Pawang Ana: Peranan di sebalik kisah J.W.W Birch dan legenda Melayu
- Details
- Saloma
- Komuniti
- Hits: 263
PASIR SALAK: Kebanyakan hikayat dan kesusasteraan Melayu yang wujud sekarang ada hubung kait dengan seorang lelaki yang namanya agak asing dalam lipatan sejarah di Tanah Melayu.
Meskipun ada diceritakan oleh beberapa individu namun pasti ramai yang tidak tahu lelaki yang digelar Pawang Ana ini berperanan penting menceritakan semula kisah rakyat sehingga dibukukan seperti sekarang.
Hikayat seperti Pak Pandir, Pak Kaduk, Lebai Malang dan Si Luncai memang popular dalam kalangan generasi sekarang, malah ada juga pernah dimasukkan dalam silibus pembelajaran sastera Melayu.
Bukan itu saja, nama Pawang Ana turut terselit dalam kisah bersejarah J.W.W Birch di Pasir Salak, dan bagaimana individu yang digelar sebagai hulubalang ini berjaya menemukan mayat lelaki Inggeris itu di Sungai Perak.
Waris dan cicit kepada Datuk Sagor, Tan Sri Ramli Ngah Talib ada membicarakan topik ini ketika menjadi panel jemputan Program Bicara Tokoh Peristiwa Pembunuhan J.W.W Birch baru-baru ini.
Menurutnya, Pawang Ana merupakan keturunan Rao berasal dari Sumatera dan berhijrah ke Kampung Pulai, Gopeng ketika itu.
Buktinya, memang ramai keturunan Rao di kawasan tersebut, malah masih boleh dijejaki hingga sekarang.
"Memang pelbagai usaha dibuat untuk cari mayat Birch tapi tak jumpa, jadi terpaksalah menggunakan kepakaran orang lain.
"Mungkin Pawang Ana ini ada kelebihan menyelam di dalam air dalam masa lama berbanding orang lain.
"Itu yang membuatkan dia berjaya temui mayat Birch yang sudah tiga hari hilang setelah dibunuh," katanya.
Malah, beberapa kajian dan tesis juga ada menyebut tentang sifat pendekar pada dirinya dan tidak kurang menggelarnya sebagai dukun atau bomoh.
Menurut Ramli lagi, peranan Pawang Ana sebagai tokoh penglipur lara di negeri ini ada hubung kait dengan Pegawai Inggeris, Richard Olof Winstedt (R.O. Winstedt) yang berkhidmat di Perak.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee berkata, Winstedt merupakan Penolong Pegawai Daerah Tapah ketika itu.
Menerusi sumber tulisan Zabidin Ismail dan artikel daripada Dewan Sastera, Hisham berkata Winstedt begitu berminat dengan cerita-cerita kesusasteraan Melayu.
"Jadi dia telah mengumpul cerita-cerita lisan daripada Pawang Ana. Kelebihan Pawang Ana pula ialah dia menghafal cerita yang diwarisi generasi terdahulu iaitu cerita rakyat.
"Pawang Ana dengar cerita dari mulut ke mulut, contoh kisah yang dia sampaikan seperti Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Malim Deman, Hikayat Anggun Che Tunggal, Hikayat Raja Muda dan Hikayat Malim Dewa.
"Kebanyakan cerita dari Perak yang dia hafal, ia telah direkod secara bertulis dan oleh Winstedt dan diterbitkan dalam buku.
"Berdasarkan kajian mereka berdua ini telah diperkenalkan oleh Raja Haji Yahya Muhammad Ali iaitu Penghulu Chenderiang waktu itu.
"Dikatakan juga Winstedt dibantu oleh Raja Haji Yahya untuk merakam serta menulis semula cerita lisan daripada Pawang Ana dan diterbitkan, maka wujudlah legenda dan kisah Melayu yang kita warisi sekarang," katanya.
Mengulas lanjut mengenai nama sebenar nama Pawang Ana, beliau menjelaskan sehingga kini tidak diketahui namanya.
"Dalam banyak kajian dibuat, mereka masih gagal temui nama sebenarnya kerana orang dulu-dulu ada pantang larang dan hanya menggunakan nama samaran atau gelaran," katanya.
Hisham menambah, jasa Raja Haji Yahya juga tidak kurang hebatnya dalam meuar-uarkan kisah legenda, malah ada buku yang mengisahkan tentangnya diterbitkan Universiti Sains Malaysia (USM).
Katanya lagi, terdapat beberapa usaha untuk menonjolkan dan menghebahkan peranan Pawang Ana sebelum ini menerusi program tertentu.
"Ia pernah ditonjolkan oleh pihak Perpustakaan Awam Negeri Perak dan badan bukan kerajaan (NGO) serta karyawan.
"Mereka pernah buat pameran dan seminar tentang Pawang Ana, malah Zabidin Ismail juga pernah cadangkan supaya SMK Chenderiang itu dinamakan dengan namanya bagi mengenang jasa," katanya.
Jelas Hisham lagi, berdasarkan kajian, Pawang Ana sering menceritakan kisah atau hikayat yang bersifaf nasionalisme.
"Dia pernah menceritakan hikayat tentang perjuangan menentang penjajah Portugis, ada nilai dan unsur cintakan negara di situ.
"Kalau ada yang kata dia pro-British, rasanya tak benar sebab nampak dia kesungguhan untuk ceritakan kisah nasionalisme," ujarnya.