Aplikasi Talent Perak mudahkan akses carian kerja
- Details
- Sheqal Danish
- Komuniti
- Hits: 227
IPOH - Satu platform pencarian kerja dikenali sebagai Aplikasi Talent Perak telah diperkenalkan kerajaan negeri Perak sebagai inisiatif memudahkan anak-anak negeri ini mencari pekerjaan.
Menerusi aplikasi tersebut, pencari kerja tidak perlu lagi mengemukakan resume secara fizikal.
Mereka sebaliknya hanya perlu mengemukakan permohonan pekerjaan melalui Aplikasi Talent Perak secara atas talian yang boleh diakses melalui telefon bimbit.
Pengarah Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), Misbahul Munir Masduki berkata, aplikasi tersebut dilancarkan pada Karnival Kerjaya Perak Sejahtera yang diadakan di Stadium Indera Mulia baru-baru.
Katanya, majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Saarani Mohamad sempena Karnival MESRA Anak Muda (KAMU).
"Pencarian dibuat mengikut kategori demografik, industri, pengajian dan peringkat jawatan yang berdekatan dengan jarak lokasi pengguna.
"Aplikasi ini boleh di muat turun melalui Play Store, App Store dan Huawei AppGallery.
"Ini selari dengan salah satu daripada enam agenda utama Perak Sejahtera 2030 iaitu Pembuatan Keputusan Berpacukan Data," ujarnya ketika ditemui.
Sementara itu katanya, seramai 3,814 pencari kerja telah mendaftar untuk mendapatkan padanan pekerjaan masing-masing pada Karnival Kerjaya Perak Sejahtera.
Daripada jumlah itu sebanyak 256 calon berjaya mendapatkan pekerjaan manakala 3,190 pula disenarai pendek bagi sesi temuduga seterusnya.