Gerakan protes doktor kontrak di HRPB, tenang
- Details
- Komuniti
- Hits: 4069
IPOH – Tidak sampai lima minit, 30 orang dipercayai doktor kontrak bergerak keluar sebagai tanda protes di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, hari ini.
Tinjauan Peraktastic mendapati, kumpulan doktor terbabit keluar melalui lobi hospital pada jam 11.30 pagi, sebelum menuju ke pintu masuk kecemasan.
Bagaimanapun, petugas media dilarang untuk masuk ke dalam kawasan hospital dan hanya dibenarkan membuat liputan dari pondok pengawal.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah merayu supaya mereka tidak meneruskan hasrat itu.
Dr Noor Hisham meminta supaya doktor kontrak tidak mengabaikan pesakit dengan melakukan mogok yang boleh menjejaskan ratusan nyawa serta kerjaya mereka sendiri.
Sebelum ini media melaporkan, doktor-doktor kontrak akan bergerak keluar secara beramai-ramai sebagai tanda tunjuk perasaan daripada pusat kesihatan di bawah seliaan Kementerian Kesihatan di seluruh negara pada jam 11 pagi, pada Isnin.
Menerusi kenyataan Hartal Doktor Kontrak, ia adalah kesepakatan yang telah dipersetujui secara bersama oleh doktor-doktor kontrak.
Kenyataan itu menjelaskan pergerakan tersebut dilakukan berdasarkan tiga keadaan iaitu kategori tidak kritikal yang menuntut doktor kontrak berkumpul dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di lobi hospital masing-masing dan bergerak keluar secara besar-besaran melalui pintu utama.
Dilaporkan, sebanyak 24 hospital di seluruh negara dicadangkan menjadi pusat kepada gerakan hartal itu antaranya, Hospital Tuanku Fauziah, Perlis; Hospital Sultanah Bahiyah dan Hospital Sultan Abdul Halim, Kedah; Hospital Pulau Pinang, Pulau Pinang; Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan; Hospital Taiping, Perak; Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak; Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang dan Hospital Sultan Ismail, Johor.