Skip to main content

Dalam Negeri

BANGUN!!!: Sudah tiba masa guru seni dilihat sebagai pengkarya

07 September 2026
Rosli Mansor

IPOH: Guru Pendidikan Seni Visual (PSV) Negeri Perak diseru terus berkarya dan mengetengahkan pemikiran kreatif mereka menerusi Pameran BANGUN!!!: Pameran Guru Pendidikan Seni Visual Negeri Perak 2026.

Pameran yang menghimpunkan karya guru PSV dengan pelbagai latar pengalaman, pendekatan dan kecenderungan artistik itu berlangsung dari 1 hingga 15 September 2026 di The Silver LAB, Ipoh, Perak.

Menghimpunkan 44 karya daripada 31 guru Pendidikan Seni Visual sekolah rendah dan menengah dari seluruh Perak, pameran itu bukan sekadar mempamerkan hasil kreativiti warga pendidik, sebaliknya membawa satu seruan supaya mereka kembali dilihat sebagai pengkarya dalam ekosistem seni.

Ahli Lembaga Pengurusan Yayasan Perak, YB Dr. Mohamad Yusri Bakir, berkata pameran itu bukan sekadar mempamerkan hasil karya, malah mencerminkan daya fikir, kepekaan estetik dan komitmen guru dalam mengembangkan dunia pendidikan melalui bahasa seni.

“Guru yang berkarya bukan sahaja memperkaya pengalaman diri sebagai pengkarya, malah mampu menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda untuk berani meneroka, mencipta serta menghargai seni dan budaya.

“Seiring dengan itu, Yayasan Perak melihat seni dan kreativiti sebagai antara elemen penting dalam membentuk masyarakat yang berilmu, berbudaya dan berdaya saing.

“Justeru, usaha memperkasakan ekosistem seni menerusi penglibatan para pendidik perlu diberikan perhatian dan sokongan berterusan supaya bakat serta potensi seni di negeri Perak dapat terus berkembang,” katanya.

Pengarah Pameran BANGUN!!!, Amrie Zakaria, berkata setiap karya yang dipersembahkan membawa pengalaman, pengamatan dan tafsiran guru terhadap dunia di sekeliling mereka.

“Setiap karya mempunyai cerita dan bahasa visualnya yang tersendiri, sekaligus membuka ruang kepada khalayak untuk melihat Perak daripada pelbagai perspektif,” katanya.

Beliau berkata, usaha berkenaan penting bagi memperkukuh ekosistem seni negeri kerana apabila pendidik diberikan ruang untuk berkarya dan berinteraksi dengan khalayak, ia bukan sahaja mengangkat martabat guru sebagai pengkarya, malah memperluas apresiasi seni dalam kalangan masyarakat.

Penganjuran BANGUN!!! turut diharapkan dapat menggalakkan budaya berkarya dalam kalangan guru serta membina jaringan lebih kukuh antara pendidik, pengkarya, institusi seni dan masyarakat.

Pameran itu juga menjadi ruang untuk guru PSV kembali meneroka idea, menzahirkan pemikiran dan berkongsi gagasan melalui karya seni, di samping membuktikan bahawa kesibukan mendidik generasi masa depan tidak memadamkan jiwa kreatif mereka.

Karya yang dipamerkan menampilkan pelbagai pendekatan dan medium, antaranya catan akrilik, arca, media campuran, cat minyak dan cat air. Menariknya, karya berkenaan turut dibuka untuk jualan kepada pengunjung pada harga yang ditetapkan. -PERAKTASTIC-