Kalau guru Pendidikan Seni Visual (PSV) sendiri terpaksa “BANGUN” untuk kembali berkarya, persoalan yang lebih sinis ialah siapa sebenarnya yang sedang tidur? Guru seni atau ekosistem seni kita?
Persoalan itu timbul apabila Pameran BANGUN!!!: Pameran Guru Pendidikan Seni Visual Negeri Perak 2026 tampil menghimpunkan karya guru PSV yang selama ini lebih dikenali sebagai pendidik, tetapi jarang dilihat sebagai pengkarya.
Guru PSV bukan sekadar insan di hadapan papan putih yang mengajar warna, bentuk, garisan dan komposisi. Mereka juga manusia yang mempunyai pengalaman, keresahan, pengamatan, pemikiran dan suara kreatif.
Malangnya, semua itu mudah tenggelam apabila guru terlalu sibuk mengajar, mengurus murid, menanda hasil kerja dan memenuhi tuntutan pentadbiran.
Maka, persoalannya mudah, guru tidak berkarya kerana tidak mahu, atau kerana ruang untuk berkarya semakin lama semakin sempit?
Bukan sekadar gantung lukisan!
Ahli Lembaga Pengurusan Yayasan Perak, YB Dr. Mohamad Yusri Bakir, melihat pameran itu sebagai wadah yang memperlihatkan kreativiti, pemikiran dan ekspresi guru PSV di Perak.
“Guru yang berkarya bukan sahaja memperkaya pengalaman dirinya sebagai pengkarya, malah menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda untuk berani meneroka, mencipta dan menghargai nilai seni serta budaya.”
Pandangan itu cukup penting. Guru yang berkarya memberi mesej bahawa seni bukan sekadar subjek dalam jadual waktu.
Seni ialah cara melihat, bertanya, menafsir dan memahami dunia. Jadi, apabila guru seni sendiri tidak mempunyai ruang untuk berkarya, agak ironik mereka diminta mengajar murid supaya menjadi kreatif.
Guru mengajar mencipta, tetapi siapa beri mereka ruang?
Pengarah Pameran BANGUN!!!, Amrie Zakaria, berkata karya yang dipersembahkan membawa pengalaman, pengamatan dan tafsiran guru terhadap dunia sekeliling.
“Setiap karya mempunyai cerita dan bahasa visualnya yang tersendiri, sekaligus membuka ruang kepada khalayak untuk melihat Perak daripada pelbagai perspektif.”
Di sinilah nilai sebenar pameran ini.
Ia bukan sekadar soal berapa banyak lukisan digantung di dinding. Ia soal siapa yang diberikan ruang untuk bersuara. Selama ini masyarakat mungkin hanya melihat guru PSV sebagai orang yang mengajar murid melukis.
Sedangkan di luar bilik darjah, mereka juga mempunyai sesuatu untuk diperkatakan. Mereka bukan tidur. Mereka terlalu sibuk mengejutkan orang lain.
Kurator pameran, Mashitah Nur Sabaruddin, melihat “BANGUN” sebagai satu deklarasi tentang kewujudan dan suara kreatif guru PSV yang tidak pernah benar-benar padam, cuma sering tenggelam dalam kesibukan mendidik.
Persoalannya, jika guru mengajar murid supaya berani mencipta dan menghargai seni, mengapa mereka sendiri masih kekurangan ruang untuk berkarya dan dilihat sebagai pengkarya?
Nyata di sini bahawa, guru PSV bukan malas atau tidur, tetapi mereka terperangkap dalam rutin dan tuntutan kerja sehingga tiada masa untuk bereksperimen, menyoal dan mencipta.
Justeru, BANGUN!!! bukan sekadar nama pameran, tetapi satu teguran supaya guru tidak kehilangan identiti sebagai pengkarya.
Pada akhirnya, persoalan itu bukan lagi kepada guru semata-mata. Guru perlu bangun daripada rutin, institusi perlu membuka ruang, masyarakat perlu mengubah persepsi dan ekosistem seni perlu berhenti menunggu.
Guru PSV tidak pernah benar-benar tidur tetapi mereka cuma terlalu lama sibuk mengejutkan orang lain!!! -PERAKTASTIC-