Skip to main content

Komuniti

Marsha Milan tak sangka impian duet bersama Pasha jadi nyata

25 July 2026
Rosli Mansor

KUALA LUMPUR: Penyanyi berbakat, Marsha Milan mengakui teruja apabila impian kecil untuk berduet bersama vokalis kumpulan legenda Indonesia, Ungu, Pasha Ungu akhirnya menjadi kenyataan.

Marsha bakal berkongsi pentas sebagai artis jemputan khas menerusi konsert “Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur” yang akan berlangsung pada 5 September depan di Idea Live Arena.

Menurut Marsha, peluang itu cukup bermakna kerana lagu-lagu Ungu banyak mewarnai perjalanan hidup peminat muzik Nusantara, termasuk dirinya sendiri.

“Ketika Abang Pasha membuat persembahan di Gegar Vaganza baru-baru ini, saya ada di situ dan terlintas dalam hati, alangkah seronoknya kalau suatu hari nanti dapat berkongsi pentas serta berduet dengannya.

“Tidak sangka impian kecil yang saya simpan dalam diam akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.

Marsha berkata, walaupun kini memberi fokus kepada persiapan Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), dia tetap akan memastikan persembahan bersama Ungu dipersiapkan dengan baik.

Katanya, pemilihan lagu duet diserahkan kepada Ungu, manakala dia masih dalam proses memilih lagu untuk persembahan solonya.

“Semua lagu Ungu sangat ikonik dan penuh nostalgia. Saya percaya persembahan nanti akan membawa banyak kenangan kepada peminat,” katanya.

Konsert sempena sambutan tiga dekad perjalanan seni Ungu itu bakal menghimpunkan deretan lagu popular kumpulan berkenaan, selain menampilkan persembahan lagu baharu buat pertama kali.

Marsha turut menjanjikan persembahan yang sarat emosi dan nostalgia menerusi elemen penceritaan serta momen nyanyian bersama peminat.

“Lagu Ungu ada kisah tersendiri. Ada yang menjadi lagu perkahwinan, lagu ketika kecewa atau menemani seseorang melalui pelbagai fasa kehidupan.

“Saya harap penonton dapat menikmati setiap detik dan sama-sama mengimbau kenangan menerusi lagu-lagu hebat mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Konsert COMs. Creative Studio, Zairul Addry Helmy berkata, penglibatan Marsha bakal memberi warna istimewa kepada konsert berkenaan.

“Marsha mempunyai kekuatan vokal dan penghayatan yang mampu menyentuh emosi penonton. Gandingan bersama Ungu pasti menjadi antara momen paling dinantikan,” katanya.

Tiket konsert anjuran COMs. Creative Studio dan DM Diamond Entertainment itu kini hampir habis terjual.