Skip to main content

Personaliti Selebriti

Konsert Homecoming Ella buktikan populariti masih utuh merentasi generasi  

28 August 2026
Rosli Mansor

PULAU PINANG: Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming – Edisi Permata Biru yang berlangsung di Setia SPICE Arena, Sabtu lalu, membuktikan pelantun lagu Sepi Sekuntum Mawar tetap di hati peminat walaupun melangkau generasi. Lebih istimewa, ia turut menjadi pentas sambutan ulang tahun ke-60 penyanyi rock legenda itu bersama peminat serta menghidupkan kembali nostalgia perjalanan seni Ella.

Bagi Ella, Pulau Pinang mempunyai nilai sentimental kerana negeri itu menjadi tempat kelahirannya. Selepas kali terakhir beraksi di Pulau Pinang pada 2023, Ella kembali dengan persembahan lebih istimewa. Kehadiran peminat bukan hanya dari Pulau Pinang, Perak dan negeri utara,  malah Sumatera dan Indonesia turut hadir menyaksikan persembahan ratu rock Malaysia itu. “Pulau Pinang sentiasa mempunyai tempat yang sangat istimewa di hati saya kerana di sinilah saya dilahirkan. “Apabila kita namakan konsert ini ‘Homecoming’, ia benar-benar membawa maksud pulang ke tempat awal permulaan,” kata Ella, atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, yang lahir pada 31 Julai 1966. Ella berkata, sambutan ulang tahun bersama peminat turut menjadi hadiah paling bermakna buat dirinya. “Melihat arena penuh malam ini merupakan satu hadiah yang sangat bermakna buat saya.

Kehadiran Dato’ Ramli Sarip, Datuk Ziana Zain dan seluruh pasukan Majlis Tertinggi Rockqueen, kenangan ini akan kekal lama di hati kita semua,” tambahnya. Antaranya lagu-lagu hits Ella yang dinyanyikan bersama  puluhan ribu peminat malam ini ialah Rama-Rama, Kesal, Bayangan, medley Cinta Selembut Sutera, Retak, Tiada Tangis Lagi, Kasih dan Pedih.

Penampilan Dato’ Ramli Sarip dan Ella menjadi antara detik paling dinanti, disambut dengan tepukan gemuruh penonton. Dua nama besar muzik rock tempatan itu berkongsi pentas menerusi Istilah Bercinta dan Teratai. Mereka kemudian meneruskan kemeriahan dengan lagu Kembara Kita. Kemunculan Datuk Ziana Zain, turut mencuri perhatian menerusi lagu ikonik Madah Berhelah, kemudian bergandingan dengan Ella dalam medley Senja Nan Merah dan Nuri. Seperti konsert yang lalu, konsert ini turut membawa mesej kebajikan menerusi kempen “Peace.Love.Rindu”. Sebanyak RM2 daripada setiap tiket terjual disalurkan kepada organisasi kebajikan pilihan pembeli. Kategori “Peace” disumbangkan kepada ABIM Pulau Pinang, Kategori “Love” pula disalurkan kepada Yayasan Kebajikan Negara dan sementara kategori “Rindu” diberikan kepada Yayasan Kebajikan Artis Tanahair.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, berkata Ella kekal sebagai figura penting dalam sejarah muzik Malaysia.  “Ini bukan sekadar sebuah konsert, tetapi bagaimana muzik tempatan terus mempunyai kekuatan untuk menyatukan generasi,” katanya. Konsert ini dianjurkan oleh Hitman Solutions dan Rockqueen dengan kerjasama ABIM Pulau Pinang, Yayasan Kebajikan Negara dan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair. -PERAKTASTIC-