KUALA LUMPUR: Tiga dekad dalam industri muzik tidak menghalang kumpulan legenda Indonesia, Ungu, terus mencuri hati peminat apabila hampir 4,000 penonton memenuhi Idea Live Arena, di sini, pada 5 September 2026.
Menerusi konsert Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur, peminat dibawa mengimbau nostalgia menerusi deretan lagu popular kumpulan itu, termasuk Cinta Gila, I Need You, Ciuman Pertama, Hampa Hatiku, Percaya Padaku dan Cinta Dalam Hati.
Menariknya, Ungu membuka tirai persembahan dengan lagu popular Datuk Seri Siti Nurhaliza, Cindai, sebelum meneruskan persembahan dengan Sejauh Mungkin, Seperti Yang Dulu, Gerimis Mengundang, Andai Ku Tahu dan Bila Tiba.
Antara detik istimewa malam itu ialah kemunculan penyanyi tempatan, Marsha Milan, yang berkolaborasi bersama Ungu menerusi Bismillah Cinta dan Tercipta Untukku.
Marsha berkata, peluang berkongsi pentas bersama Ungu di hadapan ribuan peminat menjadi pengalaman istimewa yang tidak akan dilupakannya.
Persembahan diteruskan dengan Utara - Selatan, Aku Tahu dan Kekasih Gelapku, sebelum suasana semakin hangat menerusi Demi Waktu, apabila hampir seluruh arena bergema dengan nyanyian peminat.
Vokalis Ungu, Pasha, berkata sambutan peminat di Kuala Lumpur membuktikan perjalanan tiga dekad mereka turut dibina bersama peminat.
Konsert anjuran COMs. Creative Studio dan DM Diamond Entertainment itu ditutup dengan lagu Seperti Mati Lampu dalam suasana penuh tenaga dan sorakan.
Pengarah Konsert, Zairul Addry Helmy dari COMs. Creative Studio, berkata kehadiran hampir 4,000 peminat menjadikan malam berkenaan satu pencapaian bermakna.
Katanya, kolaborasi Marsha bersama Ungu turut menjadi antara detik istimewa yang membuktikan muzik mampu menyatukan artis dan peminat merentasi generasi. -PERAKTASTIC-