Program Mentor dan Menti Bantu PBT yang kurang menyerlah
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Dalam Negeri
- Hits: 241
Ipoh- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Malaysia (MALA) akan memulakan program pementoran sebagai inisiatif meningkatkan prestasi PBT yang kurang menyerlah.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Sri Dr Ismail Abd. Muttalib berkata program pementoran (mentor dan menti) yang membabitkan PBT bertaraf bandar raya akan tampil sebagai mentor bagi membimbing PBT tahap ketiga untuk sama berdaya saing.
“PBT yang berjaya seharusnya memberi kekuatan serta membantu dalam mengenalpasti permasalahan yang dihadapi oleh Majlis Daerah bagi menaiktaraf dari pelbagai aspek.
“Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) merupakan salah satu PBT berjaya di mana ianya diterajui oleh Datuk Bandar yang mempunyai daya pemikiran tinggi serta kreatif bersama jentera pentadbiran berpengalaman.
“Perkongsian dan pertukaran maklumat dari segi pengurusan sumber manusia, kewangan, teknikal dan sebagainya adalah perlu diserapkan kerana sesetengah PBT itu mungkin mengalami pelbagai kekangan yang harus diperbaiki”, katanya dalam sidang media sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Agung dan Piala Inovasi MALA di Bilik Mesyuarat Utama UTC Perak di sini, petang tadi.
Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Dato’ Ar.Yew Tung Seang, merangkap Presiden MALA, Pengarah Kejuruteraan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah merangkap Pengerusi Biro Sukan MALA , Mazlan Mohd dan Pengarah Khidmat Pengurusan MBI, Zulkifli Jaafar Sidek.
Sebelum itu, Ismail turut menyempurnakan Pelancaran Pertandingan Piala Inovasi MALA 2.0 dengan menyerahkan Piala Inovasi MALA kepada Dato’ Ar.Yew Tung Seang dan turut penyampaian sijil kepada ahli-ahli baharu dan Ahli Jawatan Kuasa MALA.
“Syabas dan tahniah kepada MALA di atas Pertandingan Piala Inovasi MALA 2.0 yang merangkumi sejumlah RM3 juta hasil inovasi yang bakal dilahirkan oleh para PBT di seluruh negara.
“Melahirkan idea inovasi baharu adalah sangat penting dalam membantu menangani apa sahaja isu semasa yang wujud di kalangan masyarakat terutama di kawasan-kawasan pembandaran .
“Sekiranya kita dapat menangani sesuatu isu dan melahirkan inovasi yang bermanfaat, contohnya pengurusan pepejal yang melibatkan masalah pencemaran maka sudah tentulah imej negara akan dipandang tinggi. Begitu juga sekiranya kita gagal melunaskan sebarang isu sudah pasti prestasi dan imej PBT turut terjejas", katanya.