Op Benteng Laut: TLDM tahan 8 PATI di perairan Johor Selatan
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Dalam Negeri
- Hits: 250
Laporan : Saloma
LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menahan lapan orang pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Johor Selatan, kira-kira jam 11.09 malam tadi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut, penahanan itu membabitkan tujuh lelaki dan seorang wanita yang dipercayai warga Indonesia.
Mereka yang ditahan atas kesalahan menceroboh negara melalui jalan laut yang tidak diwartakan itu berusia dalam lingkungan 20 hingga 50 tahun.
"Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) telah mengesan keberadaan sebuah bot curiga berkelajuan tinggi bergerak dari perairan Batam, Indonesia dan disyaki menuju ke perairan Teluk Ramunia, Johor.
"Area Control Centre (ACC) Johor telah menyalurkan maklumat pencerobohan kepada aset TLDM KD Gempita di lapangan untuk tindakan lanjut.
"KD Gempita seterusnya mengkoordinasikan aset TLDM FCB 1123 bagi melaksanakan penjejakan dan pemintasan ke atas bot curiga tersebut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ujar kenyataan itu lagi, bot PATI bertindak untuk cuba meloloskan diri setelah menyedari kejadiran bot TLDM di lokasi.
Bagaimanapun, hasil kecekapan dan tindak balas pantas FCB 1123 telah berjaya mengagalkan cubaan tersebut dan memberkas PATI tersebut di lokasi 2.5 batu nautika selatan Tanjung Ayam.
Katanya lagi, PATI yang diberkas dibawa ke Jeti Maritim Tanjung Pengelih dan diserahkan kepada Tim Op Merpati untuk soal siasat dan ujian saringan COVID-19.
"Kesemua PATI yang diberkas seterusnya akan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi tujuan tindakan lanjut," katanya.
Ujarnya kerjasama dan tindakan bersepadu serta penyaluran maklumat yang pantas oleh kesemua agensi dapat memastikan setiap cubaan menceroboh akan dipatahkan baik di laut mahu pun di darat.