IPOH - Persatuan Pengendali Umrah, Haji dan Ziarah (PUHAZ) menzahirkan kebimbangan berlaku tawaran kepada masyarakat Islam untuk melaksanakan Haji Furada dengan menggunakan visa furada.

Pengerusi PUHAZ, Mohamad Ali Sabri berkata, pihaknya menentang sekeras-kerasnya perlaksanaan Haji Furada kerana krisis pandemik Covid-19 masih menjadi isu hangat di Arab Saudi.

"Saya bersama para ahli Jawatankuasa Tertinggi PUHAZ, menyokong sepenuhnya keputusan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri baru-baru ini berhubung penangguhan penghantaran jemaah haji Malaysia pada tahun ini berikutan wabak Covid-19 masih belum dapat diatasi.

"Mengikut rekod, jangkitan Covid-19 di Arab Saudi mencecah melebihi 100,000 kes antara penyebab kerajaan Malaysia membuat penangguhan jemaah haji ke Mekah.

"Sekiranya Haji Furada ini diteruskan oleh wakil agensi pelancongan terbabit, ini menujukkan sikap pentingkan diri sendiri tanpa memikirkan keselamatan jemaah haji terutama mereka yang berisiko dijangkiti virus Covid-19.

"Adalah menjadi kebimbangan sekiranya Haji Furada dilakukan melalui agensi pelancongan secara terus. Sekiranya ini berlaku boleh mengancam keselamatan jemaah haji Malaysia," jelasnya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media di bangunan Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad ( KAKIB) semalam.

Tambahnya, visa furada ialah visa yang dikeluarkan terus oleh kedutaan Arab Saudi kepada mana-mana wakil agensi pelancongan terpilih tanpa menggunakan kuota dari Tabung Haji.

Mohamad Ali Sabri turut mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan pelbagai pakej yang ditawarkan oleh wakil agensi pelancongan yang dilantik.

"Melalui pengalaman yang lalu, pelbagai permasalahan timbul berhubung dengan visa furada yang akhirnya gagal mendapat kelulusan dari kerajaan Arab Saudi. Semua wang pendahuluan akan lesap begitu sahaja.

"Kita tidak mahu masyarakat terpedaya dengan sikap segelitir wakil agensi pelancongan yang hanya mementingkan keuntungan tanpa memikirkan keselamatan dan kerugian yang ditanggung oleh jemaah", ujarnya.