B40, M40 Disaran Labur Beli Hartanah
- Details
- Dalam Negeri
- Hits: 596
IPOH - Golongan B40 dan M40 disaran mengambil peluang membeli hartanah kediaman di Malaysia memandangkan harganya dijangka menurun sehingga 10 peratus akibat penularan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengarah Urusan Kumpulan Mimbar Nusantara Home Sdn Bhd, Nazrin Cheong Abdullah berkata, golongan belia perlu mengambil kesempatan untuk melakukan pelaburan kerana harga rumah kediaman ditawarkan lebih murah berbanding sebelum ini.
"Majoriti orang muda selalu ada masalah untuk menguruskan wang sendiri dan selalu membeli kereta terlebih dahulu dan bukannya membeli hartanah.
"Bagaimanapun, jika berniat untuk membeli hartanah, mereka perlu beli dengan harga rendah, supaya boleh mendapat pulangan apabila jual semula pada masa hadapan," jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya, di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, Nazrin berkata, syarikatnya turut terlibat dengan projek Rumah Perakku di bawah Kerajaan Negeri dan Lembaga Perumahan & Hartanah Perak (LPHP).
Menurutnya, sebanyak 133 unit Rumah Perakku 1 d'Nusa Kayangan yang terletak di Tanah Hitam, Chemor ditawarkan dengan harga RM90,000 seunit.
Tambahnya, pembangunan projek perumahan berkenaan dipecahkan kepada tiga fasa dan terdapat 200 unit rumah teres satu tingkat dijual dengan harga permulaan tidak lebih RM180,000 seunit serta 150 unit rumah teres dua tingkat dengan harga tidak melebihi RM320,000 seunit.
"Setakat ini, lebih 5,000 golongan B40 telah mendaftar dengan LPHP untuk membeli rumah itu dan mereka akan melalui temuduga serta cabutan undi akan dibuat bagi yang layak," ujarnya.
Katanya, salah satu keistimewaan rumah yang dibina syarikatnya adalah kedudukannya tidak menghadap matahari.
"Reka bentuk rumah dibina sama ada berhadapan Utara atau Selatan dan tidak akan kena cahaya matahari.
"Selain itu, kawasan perumahan tersebut akan dilengkapi pelbagai fasiliti antaranya trek jogging, padang permainan, taman rekreasi dihiasi kolam dan lain-lain.
"Kita akan bina dua rekabentuk rumah berbeza untuk menampakkan variasi dan projek ini dijangka siap awal 2023," katanya.