MB Gesa Peneroka Tanah Haram Tampil Ke Hadapan
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Dalam Negeri
- Hits: 639
IPOH - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengingatkan peneroka seluruh Perak agar tampil ke ke hadapan bagi proses pemutihan tanah-tanah yang diusahakan secara haram.
Beliau berkata, pada 2019 sebanyak 1165.02 hektar tanah berjaya diputihkan dan secara tidak langsung peneroka tidak lagi bimbang untuk menjalankan aktiviti pertanian kerana tanah tersebut telah mendapat kelulusan pajakan secara sah.
“Pada tahun ini, seluas 2028.104 hektar tanah telah berjaya diputihkan. Jumlah ini sedikit terjejas disebabkan kekangan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Peneroka-peneroka yang masih belum berbuat demikian perlu melaporkan kepada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) supaya kerajaan dapat mengenakan cukai kepada mereka sekaligus tidak mendatangkan pulangan hasil kepada PPPNP.
“Kerajaan Negeri tidak bermaksud untuk mengambil balik tanah yang diusahakan, sebaliknya ingin menyelesaikan secara baik dengan mengenakan pajakan secara sah.
"Semua hasil cukai itu akan digunakan semula bagi perkhidmatan kepada rakyat," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Simbolik Projek Pemacu Agrotani Perak (PPAP)di PPPNP hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahya.
Menurutnya, kawasan yang masih belum berjaya melalui proses pemutihan adalah seluas 3494.7 hektar yang meliputi kawasan paling luas di sekitar Kampar dan Tapah.
“Kerajaan mengenakan cukai pajakan sebanyak RM1,500 setahun bagi pengusaha pertanian. Sementara pengusaha kolam udang dikenakan RM2,000 setahun.
"Jumlah ini amat berpatutan dan tidak membebankan golongan pegusaha yang meneroka tanah secara kecil-kecilan sebagai mata pencarian keluarga”, ujarnya.
“Kita tidak mahu membebankan golongan pengusaha tanah secara kecil-kecilan yang hanya bergantung hidup pada hasil tani. Jumlah yang dikenakan amat berpatutan dan mampu untuk mereka tunaikan.
Sebelum itu, Ahmad Faizal menyampaikan replika cek kepada usahawan, petani, pemborong, penternak dan pemborong sempena PPAP.
PPAP adalah program keusahawanan PPPNP yang berkonsepkan mentor dan mentee dibawah skim pinjaman tanpa faedah PPPNP.
Antara projek yang telah dilaksanakan ialah projek tanaman nenas MD2, ternakan ayam kampung dan ternakan ikan sangkar.
PPPNP telah mencatatkan lonjakan pendapatan sebanyak 14 peratus untuk empat bulan pertama tahun 2020 berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Sebanyak RM108 juta dalam tempoh Januari hingga April 2020, iaitu peningkatan sebanyak 14 peratus atau bersamaan dengan RM12.9 juta iní dibantu oleh pengukuhan harga minyak sawit mentah, iaitu sebanyak RM2,509 metrik tan pada April 2020 berbanding RM1,974 metrik tan pada April 2019.