Lebih 600 warga ILKKM Sultan Azlan Shah dan HBUK terima vaksin dos pertama
- Details
- Kesihatan
- Hits: 629
IPOH - Lebih 600 kakitangan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah dan Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) menerima suntikan vaksin dos pertama di Dewan Seri Perdana ILKKM Sultan Azlan Shah, hari ini.
Pemberian vaksin ini adalah di bawah Program Vaksinasi Outreach Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta dengan kerjasama ILKKM Sultan Azlan Shah dan HBUK.
Pengarah ILKKM Sultan Azlan Shah, Rokiah Tukiman berkata, seramai 627 kakitangannya dan HBUK mendaftar secara dalam talian untuk mendapatkan suntikan vaksin pada hari ini.
Menurutnya, peranan PPV Klinik Briged Utara yang giat mengadakan program outreach terutamanya di sekitar Ulu Kinta menunjukkan keprihatinan mereka dalam membantu
masyarakat yang masih belum mendapat vaksinasi.
Katanya, program outreach adalah antara inisiatif PPV Briged Utara dalam membantu meningkatkan jumlah vaksinasi harian dalam kalangan rakyat Perak dengan petugasnya bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain.
"Pemberian imunisasi vaksin pada hari ini adalah usaha untuk membantu kerajaan memperoleh 80 peratus vaksin diberikan kepada terutamanya rakyat di negeri Perak," katanya kepada Peraktastic pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata pemberian vaksin pada hari ini juga dibuka secara 'walk-in' untuk orang awam khususnya penduduk sekitar Ulu Kinta yang masih belum mendapat temujanji MySejahtera.
"Dijangkakan sebanyak 800 orang akan menerima suntikan vaksin dos pertama pada hari ini, InshaALLAH," jelasnya.
Hadir sama, Pegawai Kebajikan Briged Utara PGA merangkap Pegawai Penyelaras PPV Klinik Briged Utara, Sub Inspektor Saidu Kenchi Mohamad.