IPOH - Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan masyarakat untuk berjaga-jaga bagi mengelakkan peningkatan kes demam denggi gelombang kedua yang dijangka bermula awal Jun hingga September ini. 

Sebanyak 50,511 kes demam denggi dengan 88 kematian dilaporkan sejak Januari hingga 13 Jun lalu berbanding 56,819 kes dan 88 kematian pada tempoh sama tahun 2019.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, jumlah kumulatif kes demam denggi menampakkan pengurangan kes, namun sejak lapan minggu lalu, didapati berlaku trend peningkatan dengan purata peningkatan lapan peratus seminggu.

“Walaupun negara sedang menghadapi pandemik Covid-19, usaha berterusan untuk memerangi ancaman wabak demam denggi harus diberi keutamaan. 

“Kita berterima kasih kepada 2,954 pasukan Communication for Behavioural Impact (COMBI) kerana lebih dari 25,531 orang sukarelawan terdiri dari komuniti di seluruh negara bersatu hati menjalankan aktiviti pendidikan pencegahan demam denggi melalui pendekatan normal baharu”, katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Denggi Asean. 

Hari Denggi Asean yang disambut pada 15 Jun setiap tahun adalah sebahagian kempen kesedaran awam bertujuan untuk mewujudkan inisiatif advokasi dalam membanteras demam denggi secara bersepadu.

'10 Minit Hapuskan Aedes' adalah tema Sambutan Hari Denggi Asean peringkat kebangsaan yang disambut setiap tahun pada 15 Jun.

 

“Selain memerangi wabak Covid-19, masyarakat harus menjalankan aktiviti pemusnahan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes di premis masing-masing secara kendiri. Pencegahan adalah lebih baik dari merawat”, ujarnya.

 

End//