Lembaga Muzium Perak meterai perjanjian pengurusan Rumah Lat
- Details
- Sheqal Danish
- Komuniti
- Hits: 260
IPOH - Sejak diumumkan tentang pembukaannya dua tahun lalu, ramai dalam kalangan warga Perak dan juga luar negeri ini sudah tidak sabar-sabar untuk melawat galeri kartunis negara berstatus antarabangsa, Lat.
Terletak di di kawasan Silverlakes Premium Outlet di Batu Gajah yang sedang dibangunkan itu akan menjadi tarikan kepada pengunjung apabila dibuka nanti.
Dikenali sebagai Rumah Lat dan Galeri, ia menghimpunkan semua hasil karya dan lukisan Lat atau nama sebenarnya, Dato' Mohammad Nor Mohammad Khalid.
Sehubungan itu pada 29 Ogos lalu telah sempurna majlis menandatangani perjanjian pengurusan Rumah Lat dan Galeri antara Lembaga Muzium Negeri Perak dengan Rumah Lat Sdn. Bhd.
Perjanjian ini dimeterai antara Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim dengan Dato' Lat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Terdahulu, pada 22 Ogos pula telah diadakan sesi Lawatan Pemantauan Projek Siap bagi Pembangunan Rumah Lat dan Galeri.
Ia dihadiri Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Prasarana Kementerian Pelancongan,Seni Dan Budaya (MOTAC), Mohd Khairul Kassim.
Rumah Lat bukan sahaja menyerupai bentuk rumah asal tempat beliau dilahirkan, malah reka bentuk binaannya dari struktur dari anjung sehingga dapur memang mengikut bentuk asal.
Reka bentuk rupa Rumah Lat memang seperti yang dilukis di dalam komik.