Hari Bertemu Pelanggan: Lebih 70 peratus aduan selesai, tidak timbul isu rakyat sukar bertemu kerajaan
- Details
- Sheqal Danish
- Komuniti
- Hits: 233
IPOH: Kerajaan negeri telah menerima sebanyak 873 aduan di sepanjang enam siri Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan berlangsung sejak Februari lalu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata daripada jumlah tersebut, lebih 70 peratus aduan telah diselesaikan dan diambil tindakan lanjut.
Menurutnya lagi, jumlah aduan paling tinggi direkodkan pada setiap program ialah bersabit isu tanah.
"Bagi pihak kerajaan negeri kita tidak mahu dengar kadang kala ada tersebar di media sosial atau surat layang yang mendakwa rakyat sukar untuk bertemu dengan kerajaan.
"Sama ada Menteri Besar, Exco atau pegawai kerajaan. Kadang-kadang mereka walk-in ke pejabat itu, mungkin pegawai terbabit ada mesyuarat di luar dan tidak dapat berjumpa.
"Sebab itu kita buat ketetapan satu hari yang kita umumkan kepada semua, jadi mereka kena peka dengan tarikh itu dan boleh datang ke sini sebab pegawai ada di sini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 6, di Stadium Indera Mulia, di sini pada Selasa.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Dalam pada itu, Saarani berkata program hari ini melibatkan 112 jabatan dan agensi kerajaan yang merangkumi 92 kaunter khidmat pelanggan, 20 ruang pameran serta tujuh perkhidmatan kaunter bergerak.
Katanya, seramai 212 pengunjung hadir bagi menyelesaikan isu masing-masing yang berbangkit, selain itu sebanyak 118 aduan diterima hari ini.
"Terdapat beberapa aduan berjaya diselesaikan hari ini dan bakinya akan diselesaikan dalam tempoh ditetapkan oleh agensi atau jabatan berkaitan.
"Booth bagi aduan tertinggi adalah daripada Pejabat Daerah dan Tanah Kinta dengan 20 aduan.
"Jumlah pengunjung juga bertambah untuk setiap siri program, menariknya saya tengok ada orang yang sama berulang datang buat follow up sebab dia rasa permohonan itu macam tak bergerak.
"Tapi dia kena faham sebab permohonan itu tidak boleh bertindak segera, ada sesetengah itu datang jumpa kita dan buat permohonan minggu lepas, tapi minggu ini sudah datang follow up, tentulah perlu masa selesaikan," katanya lagi.
Saarani berkata pihaknya komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada setiap isu yang dihadapi masyarakat di negeri ini.
Selain menambah objektif utama program adalah untuk memberi ruang kepada rakyat bertemu dan menyuarakan sebarang masalah serta cadangan secara langsung.