IPOH - Bekas Menteri Kerja Raya, Tun Dr S Samy Vellu yang juga pernah menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput meninggal dunia awal pagi tadi.

Bekas Presiden MIC itu meninggal dunia di kediamannya di ibu negara pada usia 86 tahun.

Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam dalam satu kenyataan di Facebook beliau mengesahkan perkara itu sebentar tadi.

"Dengan rasa sedih dan pilu, saya menerima berita tragis pemergian Tun Samy Vellu, bekas Presiden MIC dan menteri legenda dalam Kabinet Malaysia daripada anaknya Datuk Seri Vell Paari," katanya.

Samy Vellu menerajui MIC selama 31 tahun bermula 1979 hingga 2010 selain antara menteri Kabinet paling lama berkhidmat iaitu selama 29 tahun.

Beliau dilantik sebagai Menteri Kerja Raya daripada 1983 hingga 1989 dan 1995 hingga 2008 manakala Ahli Parlimen Sungai Siput selama 34 tahun (1974 - 2008).

Mendiang meninggalkan jasa dan sumbangan yang banyak khususnya dalam aspek pengurusan jalan raya dan infrastruktur berkaitan Jabatan Kerja Raya.

Boleh dikatakan, kepesatan pembinaan rangkaian jalan raya yang baik di negeri Perak seperti lebuh raya Ipoh - Lumut, jalan dua lorong Ipoh - Kuala Lumpur dan jalan Sungai Siput dimainkan oleh beliau ketika menerajui Kementerian Kerja Raya.

Pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar buat masyarakat dan negara.