Hari Malaysia: Ubah stigma perpustakaan hanya untuk baca buku, membosankan
- Details
- Saloma
- Komuniti
- Hits: 215
IPOH: Peranan perpustakaan tidak sepatutnya hanya dilihat berperanan sebagai gedung buku semata-mata, tetapi meluas kepada pelbagai program yang menyeronokkan.
Kebiasannya segelintir masyarakat sering bertanggapan perpustakaan sebuah tempat yang formal dan mengelak untuk melakukan aktiviti di situ,susulan larangan membuat bising dan sebagainya.
Namun begitu, terdapat pelbagai pengisian aktiviti boleh dianjurkan di sini, di samping menjadi medan menghimpunkan rakyat berbilang kaum.
Menurut Ketua Bahagian Perpustakaan Tun Razak (PTR) Ipoh, Rohayu Mohd Tahir, pihaknya giat menjalankan program kemasyarakatan supaya orang ramai menjadikan perpustakaan sebagai sahabat atau tempat rujukan.
"Kita mesti buang stigma atau tanggapan yang perpustakaan ini cuma tempat untuk baca buku, diam dan tidak boleh bising.
"Sebenarnya kita boleh pelbagaikan program yang berilmu juga, untuk orang ramai daripada pelbagai peringkat umur dan bangsa.
"Kita buat program terapkan jati diri kepada mereka, beri mereka keyakinan diri dengan penglibatan aktiviti menarik di sini, kita kena jadikan perpustakaan ini boleh digunakan untuk pelbagai program," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian program My Love PTR- Semangat Merdeka dan Hari Malaysia 2022 di Perpustakaan Tun Razak, di sini pada Khamis.
Hadir sama Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Azizul Kama Abd Aziz merangkap Ahli Jawatankuasa Kecil Pendidikan MBI.
Dalam pada itu, Rohayu berkata PTR dengan kerjasama MBI juga sedang giat bergerak ke sekolah-sekolah di bandar raya ini.
"Dengan cara ini kita dapat promosikan PTR, selain itu ada urban farming di sini dan orang ramai datang sini untuk lihat kebun itu.
"Banyak sekolah juga sudah mula berminat bekerjasama dengan PTR, selepas ini kami akan pergi ke sekolah-sekolah untuk anjur program menarik serta pastikan perpustakaan di sekolah lebih sistematik," katanya lagi.
Sementara itu, Azizul Kama berkata PTR sememangnya sinonom kepada rakyat di bandar raya Ipoh khususnya.
"Mungkin ramai yang tidak tahu tapi saya dibesarkan dengan perpustakaan ini. Boleh kata saya graduan dari sini, banyak ilmu saya timba di sini.
"Zaman dulu selain daripada pawagam kita cuma ada perpustakaan ini. Di sini kita berkumpul dan tukar pendapat sekitar tahun 70-an dan 80-an.
"Usaha yang dibuat oleh pihak PTR ini, saya yakin ia akan menjadi ikon dalam bandar raya ini, paling penting ia bukan hanya sinonim dengan buku-buku tapi banyak aktiviti menarik," katanya.
Terdahulu, pada program itu, lebih 300 peserta dari tadika dan sekolah di bandar raya ini menyertai pertandingan dan ceramah yang dianjurkan.
Antara pertandingan yang dianjurkan seperti pakaian beragam, bicara berirama serta ceramah motivasi sempena Hari Malaysia yang disampaikan oleh bekas Datuk Bandar Ipoh ke-5, Datuk Sirajuddin Salleh.