Taman tema bakal dibuka awal November ini
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Pelancongan
- Hits: 627
IPOH- Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Datuk Seri Dr. Santhara Kumar menyatakan kesediaan MOTAC di atas pembukaan semula sektor pelancongan khususnya di negeri Perak.
Menerusi lawatankali pertama di negeri Perak, beliau mendapati semua pemain industri di negeri ini telah menunjukkan persediaan rapi terutamanya dari segi pematuhan SOP yang telah ditetapkan.
“Kita menjangkakan pembukaan semula sektor pelancongan di seluruh negeri selewat-lewatnya pada awal November ini. Namun ianya harus melepasi kadar vaksinasi 90 peratus.
“Salah satu produk pelancongan yang perlu diutamakan ialah taman tema yang merupakan lokasi hiburan sekeluarga. Taman tema merupakan produk pelancongan domestik yang dinanti-nantikan setelah berbulan-bulan masyarakat berkurung di rumah.
“Melalui pemerhatian, saya mendapati Lost World Of Tambun (LWOT) telah memperkemaskan kawalan persedian persekitaran sangat rapi mengikuti SOP yang telah ditetapkan. Ini berbanding dengan lokasi percutian di pantai dan air terjun yang sukar dikawal,” katanya dalam lawatan sehari di bandar raya Ipoh, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Dato’ Nolee Ashilin Mohammed Radzi, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud dan Ketua Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.
Pengisian lawatan sehari itu antaranya lawatan ke Gunung Lang, Gua Mat Soorat, Pekan Lama Ipoh, Taman Tema Lost World of Tambun, Gerai Jualan Limau Tambun dan Tasik Cermin.
Walau bagaimanapun Santhara menegaskan, semua ketetapan kebenaran pengoperasian semula itu bergantung kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN). Saya difahamkan beberapa cadangan berkaitan SOP telah diusulkan oleh para pemain industri berhubung dengan pembukaan taman tema.
“Pihak MOTAC kini bersedia membantu aktiviti promosi dan bekerja sebagai satu pasukan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kerajaan negeri dan pemain industri,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Dato’ Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata pengumuman pembukaan sektor pelancongan secara menyeluruh sangat dinanti-nantikan oleh pemain-pemain industri negeri Perak.
“Saya juga berharap isu berkaitan persediaan ini, termasuklah sektor pelancongan di Pulau Pangkor dapat dipertimbangkan sewajarnya. Ini termasuklah mendapatkan kebenaran awal untuk beroperasi sementara menunggu pengumuman rasmi pembukaan secara serentak di seluruh negara,” katanya.