Fasa Endemik : Kerajaan Negeri Perak pastikan keselamatan pelancong terjamin
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Pelancongan
- Hits: 338
Shah Alam- Para pemain industri pelancongan khususnya di negeri Perak digesa bersedia memberi kerjasama padu kepada kerajaan negeri dalam memastikan keselamatan para pelancong terjamin setelah sempadan negara dibuka semula.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak,
Dato’ Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata kerajaan negeri dan para penggiat industri menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dimana Malaysia akan memasuki fasa peralihan ke endemik mulai 1 April depan.
“Pengumuman itu memberi sinar baharu kepada semua sektor terutamanya kepada semua penggiat pelancongan di negeri Perak. Namun, tidak bermakna kita mengabaikan dan tidak mengambil pendekatan yang sama dalam meneruskan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diamalkan sekarang ini.
“Negeri Perak antara negeri paling awal dalam pematuhan SOP yang ketat menerusi pelbagai aktiviti seperti program penerangan, turun padang dan bantuan fasiliti dalam memastikan keadaaan persekitaran ditahap selamat bukan sahaja untuk para pengunjung malah pemain-pemain industri itu sendiri.
“Pemain industri juga harus memikul tangungjawab ini dalam memastikan semua destinasi pelancongan di tahap kawalan yang optimum untuk mengekang penularan COVID-19 supaya para pelancongan sentiasa berasa keselamatan mereka terjamin”, katanya dalam sidang media sempena Majlis Pelancaran Lagu, Video Musik ‘Cintaku Di Negeri Perak’ dan Perak Pass Sempena Perak Travel Fair (PTF) 2022 di Setia City Mall, Sham Alam, di sini semalam.
PTF 2022 yang mengetengahkan tema Eco Pelancongan ini, berlangsung selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Mac 2022. Ia merupakan salah satu inisiatif baharu untuk mempromosikan produk dan destinasi pelancongan menarik kepada pengunjung di sekitar Lembah Klang.
Sebanyak 26 penggiat industi di sekitar negeri Perak termasuk 10 usahawan makanan serta kraftangan berkampung mempromosikan produk masing-masing dengan kerjasama Sekretariat Usahawan Perak (STEP).
Antara peserta PTF 2022 ialah Riverbug, Kellie's Castle, Pangkor Village Beach Resort, Taman Eco Rimba Lata Kinjang dan Felda Residence Hot Springs Sungai Klah. Pelbagai aktitiviti interaktif turut dilangsungkan sepanjang tiga hari seperti kuiz pelancongan, permainan tradisional dan persembahan kebudayaan negeri Perak.
Pada masa yang sama, Nolee turut melancarkan lagu video muzik 'Cintaku Di Negeri Perak' dendangan penyanyi dan komposer muda tanahair, Hazama.
Lagu yang mempromosikan negeri Perak itu, akan dipasarkan di pelbagai jaringan digital antaranya Youtube, Spotify, JOOX, iTunes dan kbox.
Turut dilancarkan bersama ialah aplikasi Perak Pass yang boleh diakses menerusi telefon pintar bagi memuat turun tawaran baucar menarik oleh pengusaha dan produk pelancongan selain bertindak sebagai sistem pengumpulan data statistik kemasukkan pelancong ke negeri Perak secara ‘real-time’.