Jom Cuti-Cuti Malaysia bantu industri pelancongan domestik
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Pelancongan
- Hits: 358
IPOH – Orang ramai berpeluang memperolehi pakej pelancongan domestik menarik yang diluar jangkaan menerusi program Jom Cuti-Cuti Malaysia Siri Ke-2 (JCCM).
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Dato’ Zainuddin Abdul Wahab berkata program JCCM siri ke-2 itu antara usaha meningkatkan penebusan diskaun, baucar dan rebat di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 yang merupakan kesinambungan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0).
“Program jerayawara atau ‘roadshow’ ini berlangsung selama tiga hari di AEON Mall Kinta City, Ipoh bermula 27-29 Mei 2022. Antara tujuan lain ialah meningkatkan aktiviti pemasaran dan promosi pelancongan domestik selari dengan peralihan negara ke fasa endemik.
“Lebih 25 penggiat industri mengambil bahagian dalam program jerayawara berkenaan bagi menawarkan pakej percutian, tambang dan tiket masuk pada harga menarik melibatkan pengusaha produk, agensi pelancongan, hotel, taman tema dan syarikat pengangkutan.
“Selepas ini, program JCCM akan digerakkan ke tujuh lagi lokasi di seluruh negara. Kita berharap dengan adanya program jerayawara sebegini akan dapat meningkatkan lagi daya saing industri pelancongan domestik,” katanya pada media sempena program tersebut yang berlangsung di Pasaraya AEON Kinta City, Ipoh, di sini hari ini.
Tujuh lokasi lain yang akan dilangsungkan program JCCM ialah di AEON Mall Nilai (3-5 Jun 2022), AEON Mall Bukit Tinggi, Klang (22- 24 Julai 2022), Blue Atrium, Sunway Pyramid (26-28 Ogos 2022), AEON Mall Shah Alam (2-4 September 2022), AEON Mall Kota Bharu (23-25 September 2022), AEON Mall Tebrau City (7-9 Oktober 2022) dan AEON Mall Bandaraya Melaka (25-27 November 2022).
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.
Pada masa yang sama, Zainuddin turut menyampaian hadiah bagi pemenang Pertandingan Tourism Malaysia ‘Photo Challenge’ 2021.
Sebanyak 447 penyertaan diterima dengan 2,319 gambar dipertandingkan melibatkan empat kategori dalam pertandingan yang berlangsung dari 11 Disember 2021 sehingga 11 Februari 2022.
Menurutnya, pertandingan ini bertujuan menggalakan rakyat Malaysia melaksanakan aktiviti pelancongan domestik disamping berpeluang mencungkil bakat kreatif dalam kalangan rakyat Malaysia menerusi penggunaan sebarang jenis kamera termasuk telefon bimbit.
“Ia juga membuka peluang kepada penerokaan budaya serta destinasi-destinasi menarik di dalam negara.
“Kesemua karya ini menjadi milik Tourism Malaysia dan akan dijadikan sebagai bahan promosi pelancongan domestik serta antarabangsa”, katanya.
Kategori ‘Extreme Shot’ telah dimenangi oleh Muhd Dhiyaulhaq Mohd Hatta; Kategori ‘Nature, Art & Culture’ dimenangi oleh Yong Hui Peng; Kategori ‘Human Interest’ dimenangi oleh Mohd Nazri Bin Sulaiman dan Kategori ‘Past & Present’ dimenangi oleh Liew Leng Zheng.
Kesemua hadiah tempat pertama menerima kamera Sony A7 mark 3 bersama pakej percutian domestik bernilai RM15,000.00.