Tourism Malaysia Wilayah Utara berkolaborasi dengan penggiat industri - rancakkan semula sektor pelancongan
- Details
- Pelancongan
- Hits: 533
IPOH – Penstrukturan semula Tourism Malaysia dengan menggabungkan cawangan negeri dan dipusatkan mengikut wilayah bertujuan untuk memudahkan mereka menggerakkan serta mengaktifkan sektor pelancongan antara negeri-negeri tersebut.
Pemangku Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, M Yoganthiran berkata, pelbagai program telah disusun rapi bagi mempercepatkan usaha pemulihan industri pelancongan susulan Covid-19 termasuklah mengadakan kolaborasi dengan penggiat industri dalam sektor berkenaan.
“Antara program yang dirancang adalah promosi secara kolaborasi di antara Tourism Malaysia Wilayah Utara dan penggiat industri dengan menghimpunkan mereka supaya dapat bertukar pandangan dan berkongsi permasalahan masing-masing.
“Pada masa sama, kita turut bersama-sama membantu mencari jalan terbaik bagaimana untuk menghasilkan pakej pelancongan menarik, berdaya saing dan unik yang boleh ditawarkan negeri-negeri di bawah Wilayah Utara,” katanya.
Beliau berkata, kolaborasi ini akan digerakkan di Wilayah Utara dahulu sebelum digerakkan ke wilayah-wilayah lain.
“Melalui kolaborasi ini juga kita akan bekerjasama dengan pihak hotel, persatuan pelancong, agensi pelancongan dan kerajaan negeri (kerana melibatkan negeri).
“Promosi ini akan bergerak dari satu negeri ke satu negeri lain di seluruh Wilayah Utara dan akan diteruskan dari semasa ke semasa,” jelasnya.
Tambahnya, pelancong yang berminat boleh melayari laman sesawang www.malaysia.travel untuk mendapatkan pelbagai info dan pakej pelancongan menarik dengan harga berpatutan.
“Sekarang kita sedang mempromosikan pakej khas bagi penjawat awam untuk melancong di dalam negeri dan harganya yang ditawarkan lebih menarik daripada harga sedia ada,” ujarnya.
Terdahulu, beliau menghadiri majlis Sembang Santai Tourism Malaysia Wilayah Utara bersama pengamal media di Hotel Impiana di sini, hari ini.