IPOH - Mahu merasai pengalaman berada dalam kapal korek tetapi tidak dapat kerana situasi pandemik Covid-19?

Tiada masalah kerana orang ramai boleh merasai pengalaman mengujakan ini secara lawatan maya atau virtual tour Kapal korek Tanjung Tualang Nombor 5 (TT5) hasil kerjasama Lokalocal iaitu sebuah syarikat penyedia pengalaman pelancongan secara realiti maya secara percuma.

Menerusi pautan lokalocal.com/vr/tt5perak, pengunjung yang melayari laman berkenaan sama ada menggunakan telefon pintar atau komputer riba akan merasai pengalaman sebenar seperti mengunjungi kapal korek warisan negara yang terletak di Tanjung Tualang.

Untuk merasai pengalaman yang luar biasa, pelayar laman ini boleh menggunakan VR Box, namun jika tiada, pengalaman berada di TT5 secara maya sudah menyeronokkan.

Lebih menarik lagi, pemandu pelancong sebenar akan menerangkan satu demi satu berhubung keistimewaan pada kapal korek ini yang boleh diakses pada setiap Isnin, Rabu dan Sabtu, jam 10 pagi dan 3 petang.

Selain itu, pelayar boleh mengakses virtual tour pada bila-bila masa, terutama buat sesiapa yang berada di zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Bukan itu sahaja, pengunjung juga akan berpeluang untuk mendapat potongan 20 peratus diskaun tiket ke TT5 dan menebus cenderahati apabila dibuka kepada umum kelak.

Pengurus Amanjaya TT5 Sdn Bhd, Shahrin Zainon berkata, idea lawatan maya ini adalah pendekatan berbeza kepada orang ramai untuk melihat lebih dekat kapal korek warisan negara ini berikutan pandemik Covid-19 yang menyukarkan pergerakkan.

Katanya, meskipun pengalaman berkunjung secara virtual namun pelayar tetap merasakan keunikannya, sama seperti berada di TT5.

“Pelayar akan merasai pengalaman sebenar berada dalam sebuah kapal korek dan memahami bagaimana operasi perlombongan serta menikmati persekitaran kawasan yang cukup menarik terutama pemandangan disekitarnya.

 

“TT5 mengambil maklum tentang setiap perincian kapal korek yang mempunyai sejarah tersendiri perlu diterangkan oleh pemandu pelancong kepada pengunjung. Sebagai permulaan, kami menetapkan waktu lawatan tertentu bersama dengan pemandu pelancong terlatih dari TT5,” ujarnya.

Jelas Shahrin, gambar yang dirakam dan suasana dalam laman itu juga adalah gambar sebenar dan suasana yang sama seperti berada di TT5.

“Keunikan TT5 tetap sama, namun pendekatan kunjungan sahaja berbeza. Oleh itu, kami berharap agar orang ramai lebih-lebih lagi generasi muda bukan sahaja di negeri ini, malah seluruh negara agar mengambil peluang lawatan maya ini untuk meneroka sejarah,” katanya.

Sekiranya lawatan maya ini mendapat sambutan tinggi, pihak TT5 akan menambah slot berkenaan.