Industri pelancongan Pulau Pangkor akan dipacu semula
- Details
- Sheqal Danish
- Pelancongan
- Hits: 428
IPOH - Kerajaan negeri Perak dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) sedang mempergiatkan usaha pemulihan industri pelancongan negeri termasuklah Pulau Pangkor.
Terkini, kerajaan akan melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaaan (PICK) yang dijangka bermula pada 16 Julai dengan objektif utama untuk mencapai imuniti kelompok penduduk di Pulau Pangkor.
Program yang akan dilaksanakan di Klinik Kesihatan Pulau Pangkor ini mensasarkan seramai 6,500 orang atau 80 peratus daripada seluruh penduduk Pulau Pangkor.
Tourism Perak Management Berhad dalam satu kenyataan memberitahu, program ini dijadualkan selesai menerima kedua-dua dos suntikan vaksin pada 5 September tahun ini.
Menurut kenyataan tersebut, program seumpama ini juga sedang dilaksanakan di Pulau Langkawi, Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Tioman.
"Ianya akan beroperasi tiga kali seminggu iaitu pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula jam 8 pagi hingga 5 petang dengan purata 540 orang penduduk menerima suktikan vaksin sehari.
"Lanjutan daripada program imunisasi tersebut, kerajaan Perak bersama MOTAC dalam perancangan menjadikan Pulau Pangkor sebagai Destinasi Bebas Covid-19 untuk memberikan keyakinan pada pelancong," ujar kenyataan tersebut.
Beberapa acara pelancongan juga telah dirancang oleh Majlis Perbandaran Manjung (MPM) pada November 2021 bertujuan untuk meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke Pulau Pangkor.
Antaranya Festival Pangkor yang bakal diadakan ini mengetengahkan elemen sukan, aktiviti rekreasi dan beli-belah serta program sampingan seperti Joran Pangkor, Local Food Festival dan Mountain Bike Challenge.
Kata kenyataan itu lagi, program seperti ini mampu menggalakkan tempoh length of stay pelancong memandangkan setelah sekian lama berkurung di rumah dan dihadkan daripada merentas daerah serta negeri.
"Dengan penganjuran program seperti ini secara tidak langsung ianya akan merancakkan semula sektor pelancongan di pulau tersebut serta sekali gus membantu mempertingkatkan ekonomi penduduk di pulau tersebut," kata kenyataan itu.