MR D.I.Y. sumbang RM300 melalui Touch ’n Go eWallet kepada 15,000 pelajar UM
- Details
- Nasional
- Hits: 718

KUALA LUMPUR - Berita baik kepada hampir 15,000 pelajar Universiti Malaya (UM) yang bakal kembali ke kampus pada bulan Oktober ini apabila MR D.I.Y. akan menyumbangkan RM300 kepada 15,000 pelajar bagi membantu mereka membeli barangan keperluan untuk kembali meneruskan pengajian di kampus.
Ketua Pegawai Eksekutif MR D.I.Y. Group (M) Berhad Adrian Ong berkata, program #DIY4UM itu membabitkan pengedaran bantuan tunai sebanyak RM4.5 juta yang dilaksanakan dengan usaha sama Touch ‘n Go melalui platform eWallet.
Menurutnya, bantuan terbabit akan diberikan kepada pelajar melalui Touch ‘n Go eWallet sebanyak tiga kali bayaran dengan RM100 sekali pada 1 dan 30 November; dan 30 Disember.
"Program itu bertujuan untuk membantu pelajar membuat persiapan kembali ke kampus dengan lancar selepas sekian lama menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Kita percaya adalah penting untuk memastikan pelajar terbabit dilengkapi dengan barangan keperluan dari segi perlindungan diri dan untuk pembelajaran agar kekal selamat semasa meneruskan pengajian. Oleh sebab itu, kita mengambil inisiatif menyalurkan bantuan tunai ini tersebut," jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Katanya, pelajar dapat mempersiapkan diri dengan barangan keperluan pembelajaran, peralatan perlindungan daripada Covid-19 dan pelbagai barangan alat tulis di cawangan-cawangan MR D.I.Y serta platform dalam talian menggunakan kredit tunai yang diberikan.
"Selain itu, para pelajar juga bakal menikmati promosi pulangan tunai eksklusif sebanyak RM10 apabila mereka membuat perbelanjaan minimum sebanyak RM20 di cawangan-cawangan jenama MR D.I.Y. Group, platform e-dagang www.mr.diy.com.my atau melalui mini program MR D.I.Y yang terdapat pada Touch ‘n Go eWallet," ujarnya yang memaklumkan program itu adalah sebahagian daripada usaha sama strategik di antara MR D.I.Y dan Touch ‘n Go yang dimeterai pada Julai tahun ini.
Inisiatif ini turut mendapat pujian daripada Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Datuk Ir Dr Mohd Hamdi Abd Syukor.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Touch ‘n Go Group, Effendy Shahul Hamid berkata, pihaknya gembira dengan usaha sama yang dilaksanakan bagi membantu pelajar UM terutamanya di saat pandemik ini.
"Semua pelajar UM warganegara Malaysia layak untuk menerima bantuan ini. Mereka hanya perlu mendaftar dalam talian melalui Portal Maya UM mulai 3 Oktober 2021 untuk membuktikan mereka mempunyai eWallet Touch ‘n Go yang sah," katanya.
Untuk makluman, inisiatif #DIY4UM ini adalah yang terkini dalam siri usaha sama antara MR D.I.Y dan UM. MR D.I.Y telah bekerjasama dengan UM dan Kementerian Pendidikan selama empat tahun untuk menganjurkan peraduan “DIY Made Simple” untuk sekolah-sekolah di bawah UM’s Community and Sustainability Center (UMCares). Peraduan ini adalah sebuah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk memupuk kesedaran mengenai kelestarian dalam kalangan pelajar sekolah.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.mrdiy.com, platform e-dagang www.mrdiy.com.my dan saluran media sosialnya di Facebook dan Instagram.




