WHO belum terima kes kematian babitkan varian Omicron
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Nasional
- Hits: 298
Varian COVID-19 baharu, Omicron dijangka akan mengambil alih untuk menjadi varian dominan selepas varian Delta.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan berkata pada masa ini varian yang dominan ialah varian Delta yang menyumbang 99.8 peratus penjujukan, seperti dimuat naik di Perkongsian Semua Data Influenza (GISAID) dengan spesimen dikumpul 60 hari lalu.
Jurucakap WHO, Christian Lindmeier berkata walau bagaimanapun setakat 3 Disember ini, pihaknya belum lagi menerima laporan kes kematian yang membabitkan varian Omicron.
“Kita sedang mengumpul bukti mengenai varian membimbangkan initakala seluruh dunia 'berlumba-lumba' untuk menghentikan penularan varian itu.
“Meskipun angka negara yang merekodkan jangkitan berpunca daripada varian baharu itu semakin bertambah, namun tiada kematian dilaporkan kepada WHO,” katanya.
Dua minggu lalu sekatan telah dikenakan di beberapa negara sekaligus telah membawa kepada penutupan kembali ekonomi dan perlaksanaan perintah berkurung di beberapa kawasan terbabit.
Lindmeier menambah penutupan pasar sempena sambutan hari Krismas turut dilakukan di beberapa bahagian Eropah ekoran peningkatan kes disebabkan varian Delta, iaitu sebelum kemunculan Omicron lagi.
“Kita seharusnya tidak terlepas pandang mengenai perkara ini. Orang ramai seharusnya tidak leka dari mengamalkan langkah-langkah keselamatan bagi melindungi diri dari jangkitan varian Delta termasuk Omicron,” ujarnya.