Sorotan Sidang Media Menteri Kesihatan 16 Disember 2021
- Details
- Rubiah Nordin
- Nasional
- Hits: 398
KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan langkah tambahan bagi mencegah gelombang Omicron di negara ini membabitkan pengembara yang kembali dari United Kingdom (UK).
Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata, langkah tambahan itu mewajibkan pengembaraan menjalani ujian pengesanan COVID-19 kendiri setiap hari sepanjang menjalani tempoh kuarantin berkuatkuasa esok.
KKM turut menambah sebuah lagi negara iaitu Nigeria ke dalam senarai negara berisiko tinggi menjadikan keseluruhan ialah sebanyak sembilan negara.
Mengulas lanjut beliau berkata, pengembara yang tiba dari semua negara berisiko tinggi iaitu UK, Amerika Syarikat (AS), Denmark, Australia, Perancis, Norway, Kanada, India dan Nigeria sendiri akan dipakaikan pengesan digital.
"Bagi langkah tambahan membabitkan pengembara dari UK, mereka mesti melakukan ujian pengesanan kendiri bagi tempoh tujuh hari untuk yang lengkap divaksin dan 10 hari bagi mereka yang tidak lengkap divaksin.
"Mereka kemudiannya perlu melaporkan di portal MySejahtera," katanya pada sidang media di Parlimen, di sini.
Dalam pada itu, Khairy turut memaklumkan larangan penganjuran sambutan Tahun Baharu secara besar-besaran.
Bagaimanapun, katanya sambutan Tahun Baharu dan Krismas secara kecil-kecilan dan persendirian dibenarkan buat masa ini dengan syarat, pengunjung perlu melakukan ujian pengesanan COVID-19 sebelum menghadiri sambutan tersebut.
"Penganjuran sambutan Tahun Baharu secara besar-besaran adalah tidak dibenarkan. Tetapi buat masa ini sambutan Tahun Baharu dan Krismas bersama keluarga dan rakan-rakan adalah dibenarkan.
"Namun, mereka perlu membuat ujian pengesanan COVID-19 sebelum menghadiri sambutan terbabit," katanya pada sidang media di Parlimen di sini, pada Khamis.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan mengumumkan mengesan kes COVID-19 varian Omicron kedua di negara ini membabitkan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang menetap di Lagos, Nigeria.
Beliau memberitahu, pesakit bersama ibu dan adik perempuannya tiba di negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5 Disember lalu sebelum disahkan positif COVID-19 dua hari selepas itu.