Murid asrama bukan kelas peperiksaan ikuti sesi PdPR
- Details
- Sheqal Danish
- Nasional
- Hits: 428
KUALA LUMPUR - Murid bukan kelas peperiksaan yang pulang bercuti sempena Tahun Baharu Cina baru-baru ini tidak dibenarkan untuk pulang semula ke asrama.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, murid-murid berkenaan sebaliknya akan mengikuti proses Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) sepenuhnya.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat bagi memastikan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 berada dalam keadaan terlindung dan dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat.
"Kita akan pastikan pematuhan SOP di sekolah berasrama di bawah KPM dipertingkatkan.
"Pada masa sama, kita juga akan meningkatkan pemantauan di sekolah harian supaya SOP itu dapat dipatuhi dengan baik," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook hari ini.
Katanya, ibu bapa juga diminta memastikan anak-anak mereka tidak hadir ke sekolah jika mengalami gejala.
"Saya mohon jasa baik ibu bapa untuk memastikan anak tidak hadir ke sekolah jika ada sebarang gejala bagi memastikan persekitaran sekolah berada dalam keadaan selamat.
"Apa yang penting kita sama-sama berusaha memastikan sekolah akan dapat terus dibuka sekali gus memastikan sesi persekolahan minggu depan dapat di teruskan dalam keadaan lancar," katanya.
Dalam perkembangan sama kata Radzi, sepanjang Januari hingga Februari sebanyak 100 kluster pendidikan dikesan membabitkan institusi bawah Kementerian Pelajaran.
Keseluruhannya, sebanyak 8,451 kes positif dikesan membabitkan kluster pendidikan daripada 118,238 kes di seluruh negara.
"Daripada 96 kluster itu pula, 84 kluster membabitkan institusi berasrama dimana 74 kluster membabitkan asrama harian dan lapan kluster adalah asrama sepenuhnya.
"Selain itu, sebanyak 12 kluster dikesan membabitkan sekolah bukan berasrama iaitu dua kluster di sekolah menengah dan 10 kluster di sekolah rendah,"ujar beliau.