Operasi sekolah kembali seperti biasa mulai Mei
- Details
- Sheqal Danish
- Nasional
- Hits: 275
PUTRAJAYA - Pengoperasian sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan kembali normal seperti sebelum pandemik Covid-19 bermula 1 Mei ini
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, ketetapan itu dibuat selepas mengambil kira kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 berkuat kuasa 1 Mei ini.
Ketetapan SOP tersebut sepertimana diumumkan Menteri Kesihatan semalam.
Bagaimana pun, hanya dua SOP masih berkuatkuasa iaitu pemakaian pelitup muka di dalam bilik darjah dan ruang tertutup serta pengurusan murid yang bergejala.
"Boleh dikatakan, pengoperasian sekolah sudah kembali normal sebagaimana sebelum pandemik Covid-19.
"Namun, pelitup muka masih wajib dipakai ketika berada di ruangan tertutup seperti bilik darjah dan perpustakaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Bagaimana pun kata beliau, kelonggaran pelitup muka diberikan ketika berada bersendirian, guru yang mengajar di hadapan kelas, aktiviti sukan, kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah, individu berkeperluan khas dan individu yang ada masalah pernafasan.
Katanya, bermula 1 Mei ini juga, tiada lagi penjarakan 1 meter di sekolah termasuk dalam bilik darjah malah, murid dan guru juga sudah dibenarkan makan di kantin sekolah.