DUN Perak: Isu perlombongan lantanid di Hulu Perak curi tumpuan dewan
- Details
- Saloma
- Dalam Negeri
- Hits: 235
IPOH: Walaupun sudah berkali-kali diberikan jaminan bahawa projek rintis perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE), lantanid di Hulu Perak hanya akan diteruskan sekiranya mendapat kelulusan, namun isu itu terus menjadi perbualan hangat pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Kebimbangan mengenai kesan perlombongan itu terhadap alam sekitar bukan saja mendapat reaksi pelbagai daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) blok pembangkang, malahan juga di pihak kerajaan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika menjawab soalan lisan sidang DUN hari ini menegaskan terdapat beberapa keperluan untuk penggerak projek mendapatkan beberapa kelulusan lain, seperti Kebenaran Merancang, Social Impact Assessment, Environmental Management Plan dan Erosion Sediment Control Plan.
"Kebimbangan itu saya nak sebutkan tak perlu bimbang kerana kerajaan negeri tegas dengan peraturan serta undang-undang ditetapkan termasuk prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.
Dalam pada itu ketika menjawab soalan tambahan (BN-Kenering), Datuk Mohd Tarmizi mengenai sejauh mana jaminan itu andai kata berlaku perubahan kepimpinan kerajaan kelak.
Mohd Tarmizi turut memberi contoh bencana banjir dan kepala air yang berlaku di Baling, Kedah baru-baru ini dan bimbang jika perkara sama berlaku di kawasannya, yang merupakan lokasi perlombongan itu dibangunkan.
Saarani yang juga Adun Kota Tampan berkata, sumber baharu itu sudah dimulakan sejak zaman pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri Perak.
"Jika berlaku pertukaran kerajaan sekali pun, jika ia merupakan sumber bumi yang baik untuk kita jadikan sumber pendapatan. Maka kita teruskan, ia sumber baharu kepada kerajaan negeri.
"YB Kenering juga minta jaminan supaya peristiwa yang berlaku di Baling, Kedah tak berulang di tempat ini (Hulu Perak), saya yakin ini sudah kita ambil kira sebab ada SOP perlu dipatuhi.
"Ini kita pantau dengan ketat, pada waktu yang sama tak mahulah kita membiarkan saja sumber itu di situ, kerana bukan saja di Perak sumber ini. Jika ia dapat dibuktikan ia sumber bumi yang mendatangkan hasil baik, di Kedah dan Terengganu lagi banyak (sumber bumi). Mereka juga akan lakukan aktiviti perlombongan sama," katanya lagi.
Sementara itu, Datuk Aznel Ibrahim (BN-Pengkalan Hulu) ketika mengemukakan soalan tambahan bertanya sama ada sumber baharu itu nanti akan diproses di kawasan tersebut atau dihantar terus ke luar negara.
Saarani kemudiannya menjawab, projek itu masih dalam peringkat perintis namun jika setelah semua SOP dipatuhi dan syarikat dibenarkan menjalankan projek, barulah perkara itu akan diteliti.
"Setelah kita dapat hasil baru boleh dapat lihat sama ada ia boleh dilakukan prosesnya di sini (Perak), atau perlu hantar ke negara lain.
"Ada dua pendapat iaitu seperti dahulunya bijih timah, dulu kita tiada teknologi maka kita eksport semua bijih timah ke luar negara kemudian hasilnya dijual balik kepada kita. Jadi kita rugi daripada segi peluang pekerjaan, dan untuk keuntungan lebih.
"Ada pendapat sekarang kata setelah negara maju dan tenaga mahir, mengapa tidak kali ini hasil bumi ini diproses di negeri ini sendiri supaya kita dapat memberi peluang kerja dan untung lebih, ini kita akan kaji," katanya lagi.