BATU GAJAH - Situasi gempar berlaku di pekan Batu Gajah semalam setelah seorang kenamaan bersama pemandu peribadinya dilarikan beberapa 'pengganas' serta menawan sebuah tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Turut dijadikan tebusan beberapa orang awam dengan petugas KTMB yang berada di dalam tren tersebut.

Senario ini bagaimana pun hanyalah simulasi Latihan Akhir Dalam Perkhidmatan (LDP) Counter Terrorist Team (CTT) Skuadron Bravo Siri 1/2022 69 Komando Pasukan Gerakan Khas.

Latihan ini turut dijalankan dengan kerjasama Malaysian Railway Academy (MyRA).

Ketangkasan gerak menyelamat oleh 69 Komando itu di MyRA Batu Gajah jelas memukau tetamu dan wartawan yang hadir membuat liputan.

Kemunculan beberapa aset darat milik pasukan elit tersebut dan aset udara dari Pasukan Gerakan Udara seperti dron jenis DJI Matrice 300 RTK dengan disusuli bunyi letupan tembakan untuk menumpaskan pengganas, nyata memberi satu gambaran ancaman sebenar yang dihadapi oleh warga PDRM.

Dalam LDP itu, Pegawai Medan 69 Komando, DSP Hamzah Abdul Rani telah memainkan peranan utama dengan bertanggungjawab merancang segala pelan tindakan simulasi di lapangan.

Menurut Komander 69 Komando, SAC Dato' Abdul Razak Mohd Yusoff, LDP itu melibatkan sejumlah 60 pegawai dan anggota 69 Komando serta tujuh buah aset darat termasuk udara.

Turut hadir menyaksikan LDP tersebut ialah Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Mohamad Roy Suhaimi Sarif dan Ketua MyRA, James Warren.

habis