Tangguh Rang Undang-undang Sumber Air Perak: Jawatankuasa bi-partisan ditubuhkan
- Details
- Saloma
- Dalam Negeri
- Hits: 286
IPOH: Cadangan penangguhan Rang Undang-Undang Sumber Air Perak dibuat setelah mengambil kira hujah serta pandangan yang dilontarkan wakil rakyat sama ada dari pihak kerajaan dan pembangkang, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
Saarani berkata, satu jawatankuasa bi-partisan dianggotai kedua-dua pihak iaitu wakil kerajaan dan pembangkang akan ditubuhkan, bagi memperhalusi dan mengharmonikan rang undang-undang tersebut.
"Perkara itu akan dilakukan sebelum dibawa semula ke Dewan Negeri bagi memastikan ia benar-benar mencerminkan kehendak dan aspirasi wakil-wakil rakyat," katanya pada sidang media selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini pada Rabu.
Tambahnya lagi, sidang DUN yang berlangsung selama tiga hari sejak Isnin lalu menyaksikan dua rang undang-undang dibentang dan dibahaskan oleh wakil rakyat, dari kerajaan dan pembangkang.
Dua rang undang-undang itu adalah Rang Undang-Undang Sumber Air Perak 2022 dan Pembubaran Rang Undang-Undang Perbadanan Kemajuan Islam Negeri Perak.
"Pembubaran Rang Undang-Undang Perbadanan Kemajuan Islam Negeri Perak telah pun diluluskan manakala Rang Undang-Undang Sumber Air Perak ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan ditetapkan.
"Dalam sesi penggulungan semalam, saya memaklumkan bahawa cadangan penangguhan Rang Undang-Undang Sumber Air Perak dibuat setelah mengambil kira hujah-hujah serta pandangan yang dilontarkan wakil-wakil rakyat sama ada dari pihak kerajaan dan pembangkang sepanjang sesi perbahasan," katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua wakil rakyat yang sekali lagi mempamerkan kematangan dalam melontarkan hujah.
Selain pandangan secara objektif dengan meletakkan kepentingan rakyat dan negeri sebagai keutamaan merentasi batas politik kepartian.