14 Pendaki Ditahan Ceroboh Hutan Simpan
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Dalam Negeri
- Hits: 581
IPOH - Seramai 14 orang ditahan kerana melakukan aktiviti pendakian tanpa permit di Hutan Simpan Bujang Melaka, Perak.
Melalui kenyataan Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNP) satu pasukan penguatkuasa dari Pejabat Hutan Kinta Manjung telah menjalankan siasatan dan disahkan berlaku aktiviti pendakian seperti yang dilaporkan.
Hasil dari maklumat yang diperolehi, sekumpulan pendaki terdiri dari lapan lelaki dan enam wanita ditahan sewaktu mereka membuat pendakian di Hutan Simpan Bujang Melaka tanpa mendapatkan permit dari JPNP.
Difahamkan kumpulan itu memulakan pendakian dari Sahom Valley Resort dan seterusnya ke Batu Dinding berhampiran puncak Gunung Bujang Melaka.
Satu laporan Polis telah dibuat di Balai Polis Kuala Dipang berhubung kes ini. Kesemua suspek ditahan untuk disoal siasat sebelum dilepaskan dengan ikat jamin. Namun siasatan lengkap akan dijalankan oleh pihak penyiasat JPNP.
Kesemua suspek boleh didakwa di bawah Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984 iaitu kesalahan memasuki hutan tanpa permit.
Jika sabit kesalahan suspek akan dikenakan denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
JPNP memperingatkan kepada orang ramai walaupun aktiviti pendakian dibenarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),namun jika kawasan tersebut berada dalam Hutan Simpan Kekal (HSK), kelulusan perlu diperolehi dahulu dari JPNP melalui Pejabat Hutan Daerah.
Pihak berkuasa JPNP akan terus melaksanakan pantauan dan rondaan di HSK walaupun dalam tempoh PKPP seperti mana yang diumumkan oleh kerajaan.