Skim Usahawan Agrotani Peruntukan RM64.8 Juta
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Dalam Negeri
- Hits: 598
TANJUNG TUALANG - Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) memperuntukan RM64.8 juta bagi melaksanakan Skim Usahawan Agrotani (SUA).
Menteri Pertanian Dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, peruntukan itu merangkumi kos input pertanian dan elaun sara hidup untuk pusingan permulaan.
“Ini merupakan insiatif PPPNP dalam usaha melahirkan usahawan agrotani serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk dan rakyat negeri Perak.
“Skim ini telah dilaksanakan dan ianya dalam proses pelaksanaan ke seluruh negeri Perak termasuk di Perak Agrotourism Resort (PATRO) Sungai Galah.
"Kerajaan Negeri dan PPPNP mensasarkan seramai 990 orang peserta mampu bekerjasama dengan kementerian kita”, katanya.
Beliau berkata sedemikian selepas mengadakan lawatan kerja bagi projek AgroPelancongan di PATRO Sungai Galah, milik PPPNP.
Menurut Ronald, skim itu melibatkan Projek Urban Farming (Pertanian Bandar) dilaksanakan secara fertigasi bagi kawasan 283.2 hektar di seluruh negeri Perak dengan sasaran 140 usahawan.
“Ini termasuk Skim Usahawan Pertanian Perak Agriculture Integrated Valley (PAIV) di lenggong berkeluasan 242.8 hektar untuk manfaat 400 peserta ladang kontrak bagi tanaman kontan, Skim Projek Rintis Ladang Usahawan Graduan Senggang di Kuala Kangsar dengan keluasan 404.6 hektar khusus buat graduan menganggur seramai 200 orang dan Skim Pertanian Nanas Perak seluas 57.8 hektar untuk 80 orang usahawan agrotani.
"Untuk Program Pembangunan Usahawan PPPNP melalui Pinjaman Kewangan Tanpa Faedah dan Geran juga akan melibatkan 170 orang usahawan agrotani dalam bidang penternakan, perikanan, pertanian dan komersial asas tani”, ujarnya.
PPPNP telah diperbadankan pada Februari 1973, operasi utamanya ialah membuka tanah-tanah yang diluluskan oleh kerajaan negeri untuk dimajukan dengan projek-projek pertanian. Selain itu bergerak sebagai badan perniagaan, perusahaan dan pembangunan pertanian.