Kit Pakej Bumi Hijau Percuma Untuk Rakyat Perak
- Details
- Dalam Negeri
- Hits: 620
IPOH - Rakyat Perak yang berminat menjalani aktiviti bercucuk tanam di rumah kini boleh mendapatkan Kit Pakej Bumi Hijau yang mengandungi benih sayur-sayuran dan buah-buahan secara percuma.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Kerajaan Negeri menerusi Program Tanaman Bumi Hijau 2020 memperuntukkan RM790,000 untuk menyediakan kit tersebut sebagai inisiatif memperkasa aktiviti pertanian dalam kalangan rakyat di Perak.
Beliau berkata, kit yang bernilai RM71 setiap satu itu dijangka memberi manfaat kepada 11,081 isi rumah.
Beliau berharap usaha tersebut dapat mencetuskan lalu menyemai kecintaan masyarakat terhadap bidang pertanian, bermula dengan mengusahakan ‘Kitchen garden’ atau taman sayur di halaman masing-masing.
"Usaha ini bukan sahaja sahaja membantu menghijaukan bumi, malah memberi pulangan kepada rakyat untuk mengurangkan perbelanjaan dapur, seterusnya menurunkan kos sara hidup," jelasnya.
Ahmad Faizal berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Bumi Hijau Negeri Perak di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan negeri, Datuk Abdul Yunus Jamahri dan Pengarah Jabatan Pertanian Perak, Norsiyenti Othman.
Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan kit tersebut boleh membuat permohonan melalui laman sesawang Jabatan Pertanian Perak atau mendapatkannya di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) secara percuma.