Pengguna Mengeluh, Harga Ayam Naik Mendadak
- Details
- Sheqal Danish
- Dalam Negeri
- Hits: 459
IPOH – Kenaikan mendadak harga ayam menyebabkan ramai dalam kalangan pengguna mengeluh kerana terpaksa berbelanja lebih.
Suri rumah, Salmah Mat Yakob, 38, berkata, dia mendapati harga ayam yang dibeli di sebuah kedai runcit meningkat berbanding sebelum ini.
"Biasanya saya beli pada harga RM8.50 hingga RM8.80 sekilogram (kg) dan saya dapati harganya turut meningkat di kedai runcit lain. Ada antaranya meningkat hingga RM9.50kg," katanya.
Seorang lagi suri rumah, Mariatulhafizah Ahmad Sani, 40-an, berkata, ayam dibelinya jauh lebih murah iaitu sekitar RM8 pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Kini harga ayam saya dapati naik mendadak lebih RM1 hingga ada yang mencecah RM9.60 berbanding minggu lalu sekitar RM8.80kg.
“Sebagai contoh, kelmarin saya membeli seekor ayam di pasar malam yang beratnya sekitar dua kilogram pada harga RM20.60. Ayam saiz sama yang dibeli sebelum ini pula sekitar RM16.60, jadi saya rasa memang berlaku kenaikan harga," katanya.
Sementara itu, bagi seorang pekerja swasta, Mohd Syarie Mutalib, 43, dia membeli ayam pada harga RM9 sekilogram tetapi minggu ini naik RM9.50.
Menurutnya, ayam itu dibeli di pasar basah di kawasan kediamannya di Pengkalan dekat sini.
“Bila ditanya kepada penjual, dia memberitahu harga yang dibeli daripada pemborong juga naik antaranya disebabkan kos seperti makanan ternakan.
“Walaupun naik tapi apa pilihan yang kita ada kerana ayam perlu dibeli untuk bekalan di rumah. Mahu tidak mahu, terpaksalah membayar mengikut harga dijual.” ujarnya kepada Peraktastic.
Bagaimanapun dia mengakui, harga ayam segar adalah lebih mahal di kedai runcit biasa berbanding harga ditawarkan di pasaraya besar.
Dalam pada itu, semakan harga purata peringkat runcit komoditi harian bagi Daerah Kinta yang dipaparkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menunjukkan harga ayam proses standard ialah RM8.80 sekilogram.
Kadar harga siling yang dibenarkan juga adalah sama.