IPOH – Kerajaan Negeri menafikan dakwaan kononnya ada kerja-kerja pembersihan dilakukan di atas sebidang tanah wakaf di Tambun dekat sini bertujuan mengeluarkan bahan mineral.

Difahamkan, tanah pada Lot 18835 itu diselenggara oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Setiausaha Kerajaan negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata, susulan dakwaan tersebut, MAIPk telah membuat tinjauan bersama Ketua Balai Polis Tambun dan wakil Pejabat Daerah dan Tanah Ipoh.

Katanya, hasil tinjauan mendapati, tiada sebarang aktiviti pengeluaran bahan mineral atau tanah merah yang dibawa keluar dari kawasan tersebut. 

“Siasatan itu juga mendapati, hanya terdapat kerja-kerja awal pemasangan pagar di tanah wakaf yang diselenggara oleh pihak MAIPk.

“Pembinaan pagar ini bagi mengekang aktiviti pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab kerana tanah tersebut telah diteroka tanpa kebenaran MAIPk,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, kerja-kerja pemasangan pagar tersebut hanya tertumpu pada sempadan kawasan perumahan dan tidak melibatkan sempadan tanah di kawasan kaki Gunung Panjang. 

Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan, berlaku kerja-kerja pembersihan di tanah berkenaan bagi tujuan mengeluarkan bahan mineral.

Laporan itu merujuk pada dakwaan yang dibuat wakil penduduk Taman Panorama Tambun.