IPOH – Sempena perayaan Aidil Fitri Kerajaan Negeri Perak memperkenalkan S.M.A.R.T Niaga@Perak’, satu lagi inisiatif e-dagang melalui Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam  dan Pelancongan, Dato Nolee Ashilin Dato’ Mohd Radzi berkata inisiatif terbaru ini digerakkan dengan kerjasama syarikat-syarikat pengendali platform e-dagang Shopee Malaysia (Shopee) dan Lazada Malaysia (Lazada) serta syarikat pengendali bayaran ‘e-wallet’ Axiata Digital Ecode Sdn. Bhd. melalui aplikasi Boost.

 "Inisiatif e-dagang di Shopee dan Lazada ini bertujuan menyediakan satu ruang khas bagi para peniaga dari negeri Perak untuk mempromosi produk-produk bukan sahaja di dalam negara, malahan ke pasaran antarabangsa. 

 

"Antara produk-produk sempena hari raya ialah pakaian, biskut raya, barang kecantikan dan perhiasan rumah", katanya yang juga memangku portfolio Komunikasi Dan Multimedia.

 

Kedua-dua pihak Lazada dan Shopee turut menawarkan pelbagai insentif menarik kepada para peniaga yang berdaftar melalui S.M.A.R.T Niaga @ Perak.

 

Lazada menawarkan pengecualian yuran penyenaraian, yuran komisen serta caj transaksi selama 30 hari bagi para peniaga baru di bawah Pakej Kedai Pintar’ Lazada. 

 

Menurut Nolee Ashilin, pihak Shopee melalui pakej sokongan digitalisasi ‘Shopee Seller’, mengecualikan yuran komisen serta menawarkan baucer berjumlah RM400, kredit iklan My Ads sebanyak RM200 dan penghantaran percuma bagi pembelian minimum RM19 selama dua minggu kepada para peniaga baru.

 

"Lazada dan Shopee akan mewujudkan satu “landing page” khas bagi peniaga-peniaga Negeri Perak terutamanya yang berdaftar melalui inisiatif S.M.A.R.T Niaga @ Perak.

 

"Melalui aplikasi Boost pula, para peniaga dapat memberikan pilihan bayaran tambahan pembelian tanpa tunai di premis-premis mereka bagi menggalakkan pembelian dan pembayaran tanpa kontak.

 

Pendaftaran S.M.A.R.T Niaga @ Perak kini dibuka melalui portal Digital Perak https://digital.perak.my/smartniaga dn pendaftaran dibuka sehingga hujung tahun ini.