Patuhi SOP Tangani Covid 19 Selepas PKP - Dato' Odzman
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Dalam Negeri
- Hits: 620
IPOH, 8 Mei - Kerajaan negeri dan Persatuan Pelancongan Negeri Perak sedang menyusun serta mengemaskini strategi Tatacara Pengendalian Piawaian (SOP) berdasarkan Kementerian Kesihatan bagi memastikan semua sektor berjalan dengan baik dalam menangani krisis Covid 19 selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Presiden Persatuan Pelancongan Negeri Perak, Dato’ Mohammad Odzman Abdul Kadir berkata langkah kerajaan menitik beratkan SOP kepada semua sektor yang melibatkan kerjasama dari pelbagai agensi dalam membendung gejala covid 19 akan terlaksana dengan jayanya.
“Kita mencadangkan satu kumpulan pemantapan di bawah kuasa kerajaan negeri yang melibatkan pelbagai agensi dan diterajui oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menentukan SOP yang diwujudkan dapat dipatuhi dengan baik.
“Adalah lebih berkesan jika kerajaan negeri mengeluarkan sijil bagi menunjukkan SOP yang dilaksanakan telah dipatuhi oleh semua sektor yang beroperasi. Ini akan memberi kenyakinan kepada orang ramai dimana keselamatan mereka sentiasa diutamakan dan terjamin’, katanya ketika dihubungi oleh Peraktastic.
Menurut Odzman, sektor peniagaan seperti perhotelan, restoran, cafe dan sebagainya haruslah bersama-sama dengan kerajaan negeri untuk menyediakan SOP yang bersesuai dengan peniagaan premis masing-masing sebelum dibuka semula.
“Adalah penting sekali orang ramai perlulah memastikan budaya kebersihan diamalkan dan menjadi disiplin berterusan yang bukan sahaja untuk diri sendiri malah untuk kesejahteraan orang lain.
“Slogan ‘kita jaga kita’ amatlah bertepatan namun dalam erti sebenarnya kita seharusnya mengutamakan kepentingan semua. Haruslah sentiasa mengamalkan kebersihan dengan menggunakan cecair pembersih tangan pada setiap masa, mengamalkan jarak sosial dan memakai penutup mulut ketika berkomunikasi.
“Saya percaya sekiranya kita semua mengikuti apa yang disarankan, negeri Perak akan kembali membangun dengan sihat dan seterusnya sektor pelancongan akan berjalan dengan lancar. Apa yang paling penting ialah sektor ekonomi kembali kembali pulih ”, katanya.