Promosi TT5 ke Dubai
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Pelancongan
- Hits: 472
BATU GAJAH: Kapal Korek Tanjung Tualang No.5 (TT5) antara empat lokasi pelancongan di Perak akan dipromosikan di pentas antarabangsa, menerusi ekspo Dubai dalam usaha mengetengahkan produk negeri di mata dunia.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau bersama beberapa wakil agensi dan jabatan dijangka akan berangkat ke negara tersebut, bermula 26 Disember hingga 2 Januari bagi tujuan berkenaan.
''Minggu terakhir bulan ini, saya bersama rombongan akan ke ekspo Dubai, antara agenda yang akan dibawa ialah mempromosikan beberapa produk pelancongan antaranya termasuk Kapal Korek Tanjung Tualang No.5 (TT5).
''Selain daripada itu, tiga lagi kawasan yang akan dipromosikan ke ekspo berkenaan adalah Embun Sahom Gopeng, Kuak Hill Resort, MBI termasuk TT5 Maze Park terbaharu yang berada di kawasan sekitar kapal korek ini,''katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan kerja di Kapal Korek Tanjung Tualang No.5 (TT5) dan TT5 Maze Park di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Anuar Zainal Abidin.
Katanya lagi, difahamkan dua minggu lalu wakil kedutaan dari Jerman turut datang dan juga membantu mempromosikan TT5 kepada beberapa kedutaan lain.
''Difahamkan mereka (delegasi Jerman) akan datang berkunjung ke tempat ini (TT5) pada bulan Mac nanti,''katanya.
Saarani berkata lawatan beliau ke Kapal Korek TT5 hari ini bertujuan melihat pembangunan kawasan yang disasarkan mampu menjadi tarikan utama pengunjung khususnya pelancong luar negara pada masa hadapan.
''Saya percaya akan ada lagi usaha untuk menambahbaik yang masih boleh dibangunkan sebagai tarikan kepada pengunjung yang berminat dengan kapal korek.
''Menerusi produk pelancongan TT5 dan Maze Garden ini, kita berharap selain pelancong domestik kita juga mampu menarik pelancong antarabangsa.
''Pengunjung tempatan pun akan berminat untuk pegi tempat sebegini, kerana ia ada kelainan selain berkunjung ke tempat pelancongan biasa seperti taman tema air atau zoo, ini benda baharu dan ada sejarah serta sesuai untuk semua golongan,'' katanya - Ehsan berita dari Suara Perak.