IPOH- Trend berkonvoi dengan motosikal kini menjadi kegemaran bukan sahaja melibatkan golongan kelas pertengahan malah menjadi hobi dan keseronokan golongan lebih berkemampuan.

Menyedari hakikat itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Dato’ Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata Kerajaan Negeri menerusi Tourism Perak hari ini melancarkan risalah Perak Bikers Trail sebagai inisiatif memeriah dan memperkenalkan lebih dekat produk-produk pelancongan menarik di negeri Perak.

Program Jelajah Integriti Pelancongan SPRM Perak (JIPS) 2.0 ini, bermula 23-25 Mac 2022 yang dijayakan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malasyia (SPRM) bersama beberapa rakan strategik termasuklah Tourism Perak.

Bagi memudahkan penjelajahan para peserta konvoi, risalah ini menyediakan QR Code di 15 daerah dalam negeri Perak. Pengguna boleh mengimbas QR Code di mana-mana destinasi pilihan menerusi telefon pintar.

Pengguna akan dapat melihat info grafik yang memaparkan pelbagai maklumat produk pelancongan antaranya penginapan, tempat makan, rekreasi dan lakaran ringkas peta mengikut daerah”, katanya dalam sidang media selepas acara pelepasan konvoi motosikal yang melibatkan 60 orang peserta di perkarangan bangunan SPRM, Ipoh, di sini pagi tadi.

Tourism Perak pernah mengadakan program seumpama ini pada November 2017 bersama beberapa kelab motosikal iaitu Perak International Bike Week (PIBW). Program itu turut melibatkan ratusan peserta dari beberapa negara seperti Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.

Sementara itu Pengarah SPRM Negeri Perak, Dato’ Mohd Fauzi Mohamad berkata program JIPS 2.0 menjadi platform terbaik untuk menyebarluaskan mesej pencegahan rasuah selain menekankan pembudayaan anti rasuah dalam amalan kehidupan seharian masyarakat.

Pendekatan lebih pragmatic diperkenalkan dengan menambahbaik sasaran serta kandungan aktiviti program disamping mengekalkan penglibatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai rakan strategic SPRM Perak.

“Pendekatan mempromosi lokasi pelancongan menjadi agenda seterusnya dengan mengadakan beberapa pertemuan di lokasi pelancong menarik seperti Tasik YDP di Slim River, Kafe Daun Kering di Kampar, Homestay Labu Kubong di Lenggong dan Royal Belum di Gerik’, ujarnya.

Antara 15 buah daerah yang menjadi ‘hotspot’ pelancongan Perak Bikers Trail di negeri Perak itu ialah, Kerian, Selama, Taiping, Pengkalan Hulu, Gerik, Lenggong, Kuala Kangsar, Ipoh, Batu Gajah, Perak Tengah, Tanjung Malim, Kampar, Tapah, Manjung dan Teluk Intan. -PERAKTASTIC-