Perak negeri pertama bakal perkenalkan produk pelancongan baharu mesra muslim
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Pelancongan
- Hits: 425
IPOH- Perak merupakan negeri pertama bakal memperkenalkan produk pelancongan baharu mesra muslim bagi menarik lebih ramai pelancongan muslim terutamanya dari negara Timur Tengah.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan Dan Pelancongan Negeri Perak, Dato’ Nolee Ashilin Dato’ Mohamed Radzi berkata menerusi Seminar Pelancongan Masjid, Taklimat Muslim-Friendly Accommodation Recognition (MFAR) dan Muslim-Friendly Tourism (MFT) yang telah berlangsung sehari itu, memberikan pendedahan kepada pengusaha hotel terutama yang berdaftar di bawah Malaysia Association Hotel (MAH) dalam membantu mempromosikan produk dan pakej pelancongan negeri Perak oleh Islamic Tourism Centre (ITC).
“Seperti yang diketahui, konsep perkhidmatan mesra muslim mula mendapat sambutan di beberapa negara di dunia antaranya Indonesia, Singapura, Korea Selatan, Taiwan dan Britain. Ia memfokuskan keperluan dan kemudahan pelancong Muslim oleh pengusaha hotel menerusi kebersihan, penggunaan peralatan, makanan dan kemudahan mesra Muslim.
“Banyak pilihan yang boleh ditawarkan kepada pasaran Timur Tengah dengan penyediaan infrastruktur dan kemudahan yang diperlukan bagi mempertingkatkan jumlah pelancong muslim di seluruh dunia”, katanya kepada kepada Ipohecho selepas merasmikan Seminar Pelancongan Masjid, Taklimat Muslim-Friendly Accommodation Recognition (MFAR) dan Muslim-Friendly Tourism (MFT), di Royal Perak Golf Club, di sini semalam.
Di negeri Perak hanya satu premis penginapan pelancongan yang telah mendapat pengiktirafan MFAR iaitu Hotel Lost World of Tambun. Selain itu, dan Hotel Impiana juga telah membuat permohonan untuk mendapatkan pengiktirafan tersebut.
Hadir sama, Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre (ITC), Dato’ Dr. Mohmed Razip Hassan dan Ketua Pengawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.
Menurut Nolee, pemilihan negeri Perak sebagai negeri pertama untuk Seminar Pelancongan Masjid ini kerana negeri ini mewariskan pelbagai keunikan senibina masjid serta berlatar belakangkan sejarah yang menarik.
“Negara kita majoritinya adalah penganut beragama Islam dan tidaklah begitu sukar untuk menarik pelancong menerusi pasaran ini. Kita perlu mengambil langkah ke hadapan dengan mengembangkan perkhidmatan dengan mewujudkan satu skim baharu di bawah konsep pelancongan mesra muslim untuk hotel yang dikenali sebagai MFAR.
“Kerajaan Negeri melalui Tourism Perak bekerjasama dengan Solidarity Association For Travel and Tourism Agencies (SAFTTA) akan menyertai program Business Matching (B2B) di Arabian Travel Market (ATM) Dubai pada 8 Mei 2022.
“Kita menggalakkan lagi ramai penggiat industri di negeri Perak terutama agensi pengembaraan dan pelancongan untuk mempelbagaikan pakej pelancongan yang menekankan konsep mesra Muslim.
“Setakat ini negeri Perak mengetengahkan sepuluh buah masjid iaitu Masjid Panglima Kinta, 1898; Masjid Ubudiah,1917; Masjid Ihsaniah Iskandariah, Kampung Dhal , 1938; Masjid India Muslim,1908; Masjid Kampung Paloh, 1912; Masjid Pakistani, 1930; Masjid Sultan Idris Shah,1968; Masjid Muhammadiah (Masjid Cina), 2013; Masjid Al-Badr Seribu Selawat, Pulau Pangkor dan Masjid Toh Puan Hatijah, 2008”, katanya.