IPOH – Selepas hampir lima tahun Juwita hidup bersendirian, akhirnya bertemu jodoh dengan Jiwang dan disatukan dalam majlis perkahwinan pasangan badak air pertama yang diadakan seumpamanya di Malaysia.

Ketika keduanya ingin ditemukan, pasangan badak air itu seolah-olah ‘malu-malu kucing’ apabila pengantin jantan, Jiwang berlari keluar daripada kolam apabila Juwita muncul untuk bertemu dengannya.

Majlis perkahwinan yang berkonsepkan Melayu tradisional lengkap dengan bunga manggar dan hantaran itu diadakan di Hippo Kingdom, taman tema air Lost World of Tambun (LWOT) di sini, lewat petang semalam.

Kenduri itu dimeriahkan dengan kehadiran sejumlah tetamu jemputan yang amat teruja untuk menyaksikan penyatuan bersejarah yang jarang-jarang berlaku di negara ini.

Tetamu yang dijemput turut dihidangkan dengan menu lauk kenduri yang enak sebagai juadah berbuka puasa pada majlis berkenaan.

Sepanjang majlis berlangsung, kesemua kakitangan dan tetamu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Pengurus Besar LWOT, Nurul Nuzairi Mohd Azahari berkata, persediaan untuk menyatukan kedua-dua badak air ini telah bermula sejak Oktober tahun lalu memandangkan proses keserasian baka haiwan tersebut mengambil tempoh yang lama.

Menurutnya, sepanjang lima tahun proses mencari pasangan untuk Juwita berlangsung, Jiwang dipilih kerana mempunyai genetik yang berlainan.

“Penyatuan badak air itu memerlukan dua genetik yang berlainan supaya anak yang dilahirkan mampu hidup lama dan tidak cacat.

“Bukan mudah sebenarnya proses untuk menyatukan pasangan badak air ini. Kita perlu mendapatkan kelulusan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) terlebih dahulu bagi memastikan kedua-dua haiwan ini boleh ditempatkan dalam satu kawasan yang sama.

“Aspek keselamatan juga amat dititikberatkan kerana spesis haiwan ini amat merbahaya dan sangat mementingkan wilayah masing-masing,” katanya yang memberitahu ini diet haiwan tersebut adalah buah-buahan dan sayur-sayuran.

Untuk makluman, badak air adalah spesis haiwan yang banyak menghabiskan masa di dalam air antaranya melakukan proses persenyawaan, melahirkan dan menyusukan anak.

 

FAKTA MENARIK JUWITA & JIWANG:

Nama – Juwita

Jantina – Betina

Umur – 21 Tahun

Berat – 1.4 Tan

Asal – Garborone, Botswana, Afrika (Dibawa masuk ke Malaysia pada tahun 2001 dan ditempatkan di Kuala Lumpur sebelum berpindah ke LWOT)

 

Nama – Jiwang

Jantina – Jantan

Umur – Antara 8 ke 10 Tahun

Berat – 1 Tan

Asal – Afrika (Berada di Pahang sebelum berpindah ke LWOT)