Tourism Malaysia Wilayah Utara tawar pakej pelancongan mampu milik serendah RM138
- Details
- Pelancongan
- Hits: 798
IPOH – Tourism Malaysia Wilayah Utara menawarkan 10 pakej pelancongan mampu milik di lokasi-lokasi menarik sekitar negeri Perak dengan harga serendah RM138.
Pemangku Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, M Yoganthiran berkata, pelaksanaan pakej pelancongan ini turut mendapat kerjasama Wow Cuti yang membantu dengan mempromosikannya di laman sesawang wowcuti.my.
Menurutnya, antara pakej pelancongan yang disediakan termasuklah pakej dua hari satu malam ke Kuala Kangsar dan Taiping; pakej satu hari ke Taiping dan Kuala Sepetang; pakej ke Gaharu Tea Valley, Gopeng; dan pakej dua hari satu malam ke taman tema air Lost World of Tambun (LWOT).
“Hari ini (semalam) kita mengadakan lawatan suai kenal bersama 25 peserta daripada 10 agensi pelancongan di Pulau Pinang dan Kedah untuk melawat tempat-tempat menarik di sekitar negeri Perak.
“Kita bawa mereka ke beberapa lokasi pelancongan terkenal seperti Warisan Kapal Korek TT5 di Batu Gajah, berjalan-jalan di sekitar bandaraya Ipoh dan ke LWOT.
“Tujuan lawatan ini adalah untuk memberi pengalaman kepada agensi pelancongan terbabit supaya mereka dapat menceritakan gambaran sebenar lokasi pelancongan tersebut kepada pengunjung dengan lebih baik.
“Pakej-pakej pelancongan yang disediakan ini akan dilaksanakan sekiranya kebenaran rentas negeri dibuka semula dan akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Sesi Ramah Mesra dan Majlis Berbuka Puasa bersama Agensi Pelancongan Pulau Pinang dan Kedah, Pengusaha Pelancongan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Rakan Media Negeri Perak di The Haven All Suites Resort, di sini, semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Yoganthiran berkata, pihaknya juga sedang giat merangka pakej pelancongan untuk dibangunkan di antara negeri-negeri di Wilayah Utara.
Katanya, terdapat satu pakej tiga hari dua malam melibatkan percutian keluarga di dua negeri di dalam Wilayah Utara iaitu The Haven All Suites Resort, Perak dan di Tropical Spice Garden, Pulau Pinang.
“Banyak lagi pakej pelancongan akan dihasilkan seumpamanya bagi memberi pengalaman berbeza kepada pelancong yang akan melawat ke negeri –negeri di Wilayah Utara.