Pengusaha Hotel dan Resort ibarat ‘Nyawa-nyawa Ikan’ – Zamari Muhyi
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Pelancongan
- Hits: 633
IPOH- Pengusaha hotel dan resort kini ibarat ‘nyawa-nyawa ikan’ lantaran lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan sehingga 28 Jun depan.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputra Perak (PPPBP), Zamari Muhyi berkata, pengusaha perhotelan dan resort menghadapi impak yang sangat teruk seperti kos pengoperasian, pemberhentian kakitangan dan jalan terakhir penutupan operasi perniagaan sekiranya berterusan gagal menjana pendapatan akibat PKP yang berlarutan.
“Namun begitu pihak pengusaha berterima kasih diatas inisiatif kerajaan dengan bantuan rangsangan secara ‘one off’, namun masih tidak dapat membantu menampung kos operasi bagi tempoh jangka masa panjang.
“Paling menyedihkan kos utiliti masih tiada pengurangan, Program Subsidi Upah 2.0 & 3.0 masih belum diterima namun sewaan permis harus dilangsaikan, tawaran moratorium juga tidak dilaksanakan secara menyeluruh dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu dilakukan seperti biasa. Justeru, pengusaha terpaksa akur dan terus bertahan selagi termampu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut memberi beberapa cadangan bagi menyelamatkan industri perhotelan dari gulung tikar antaranya, beliau mahukan Program Subsidi Upah diteruskan pada kadar RM1,200 seorang pekerja sehingga menjelang Disember 2021.
“Penangguhan caruman KWSP untuk pekerja dan majikan sehingga Disember 2021 haruslah dibenarkan dan pemberian diskaun 50 peratus utiliti letrik, air dan Telekom Malaysia bagi syarikat pengusaha hotel dan produk pelancongan juga mesti disegerakan.
“Kerajaan perlulah membuka semula secara bersasar dan berperingkat rentas daerah bagi destinasi produk pelancongan termasuk pulau peranginan kepada rakyat yang telah lengkap menerima dua dos vaksinasi.
“Selain itu kami juga mahukan penambahan Pakej Rangsangan Bantuan Khas kepada pemain dan pengusaha Industri Pelancongan secara terus sehingga Disember 2021. Selamatkanlah kami yang kini seperti berada di ‘wad kecemasan’ dan hanya berpasrah menunggu takdir,” tegasnya.