PUTRAJAYA - Beberapa lokaliti di negeri Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan peningkatan kes positif Covid-19.

Antaranya ialah Kampung Orang Asli Batu 6 di Daerah Batang Padang yang sekali lagi dikenakan PKPD selama 14 hari bermula Rabu.

Sebelum ini, lokaliti terletak di Mukim Batang Padang dengan seramai 494 penduduk itu pernah dilaksanakan PKPD sejak 21 Januari.

Kawasan itu kemudian disambung lagi PKPD sehingga 10 Februari.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, 22 lagi perkampungan Orang Asli suku Semai di daerah itu juga dilaksanakan PKPD serentak.

Katanya, ia melibatkan Kampung Sungai Lah, Mukim Chendering; Kampung Menderang, Mukim Sungkai serta Kampung Senta, Kampung Chang dan Kampung Sanding di Mukim Bidor.

"Sementara Mukim Batang Padang pula selain Batu 6, turut dikenakan ialah Batu 7, Batu 7 ½, Batu 14, Batu 16, Batu 17, Batu 18, Batu 19, Kampung Kenderong dan Kampung Sungai Rensa.

"Turut dikenakan Kampung Sungai Chendon, Kampung Sungai Odak, Kampung Ampangan, Kampung Pos Woh dan Kampung Sungai Bot Dalam.

"Lokaliti lain Kampung Sungai Bot Luar, Kampung Sungai Tidong, Kampung Lubuk Gaharu dan Kampung Woh Intake," katanya.

Dalam pada itu, satu lagi lokaliti di Daerah Kinta juga dilaksanakan PKPD ialah Taman Meru 2B.

Pada 20 November tahun lalu, PKPD dikenakan di Zon B dan C, Taman Meru 2C, Ipoh sehingga 3 Disember membabitkan 2,288 penduduk dan 572 rumah.

Ia bagi membolehkan Kementerian Kesihatan membuat saringan bersasar terhadap penduduk di kawasan itu.